Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akhirnya mengalah juga terhadap pelbagai kritikan atas perlantikan dirinya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.
Katanya, bermula hari ini beliau tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada bapanya, Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah dalam satu kenyataan berkata, ini berikutan beliau menerima pelawaan untuk menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan bagi membantu usaha memperkukuh ekonomi negara yang dipengerusikan Mohd Hassan Merican.
“Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Mohd Hassan Marican, telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
“Saya dengan rendah diri menerima pelawaan dan tanggungjawab tersebut.
“Dengan peranan baru itu, saya tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.
“Saya amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya lagi.
Nurul Izzah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas setiap sokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan sepanjang keberadaannya memegang jawatan sebagai penasihat kanan kepada Perdana Menteri itu.
Hmmmmm…..
Menerima pelawaan Mohd Hassan menyertai Seketariat Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan barangkali hanya sebagai alasan atas pengunduran Nurul Izzah sebagai penasihat kanan kepada bapanya yang mengundang kritikan ramai sebaik ia diketahui ramai sebelum ini.
Rata-rata orangramai, kecuali pembodek dan pengampu, tidak dapat menerima perlantikan itu kerana ia merupakan suatu amalan nepotisme yang terang lagi nyata, walaupun Anwar cuba mempertahankan perlantikan itu dengan alasan anaknya tidak menerima sebarang gaji dan elaun atas jawatan tersebut.
Meskipun dipertahankan dengan alasan tersebut, secara umumnya rakyat tidak dapat menerima perlantikan itu kerana konflik kepentingan tetap berlaku walau tidak dibayar gaji, selain membuka pintu fitnah dengan sengaja.
Blog ini sendiri beberapa kali menulis tentang perkara itu, malah pernah menyarankan agak Nurul Izzah mengundur diri sebagai langkah menyelamatkan keadaan serta nama baik bapanya.
Artikel berkaitan di sini – https://shahbudindotcom.net/2023/01/30/apa-kata-jika-nurul-izzah-sukarela-mengundurkan-diri.html
Agaknya, setelah berfikir panjang dan demi menjaga nama baik bapanya, Nurul Izzah sedar juga akhirnya kesan buruk daripada perlantikan dirinya itu.
Jika tiada perlantikan anaknya itu, Anwar tentu saja tidak menerima kritikan dan kecaman yang terbuka daripada orang ramai.
Ia adalah kesilapan yang tidak seharusnya Anwar lakukan dalam tempoh belum sampai 100 hari menduduki jawatan Perdana Menteri.
Walaupun pengunduran itu agak terlambat, ia bagaimanapun tetap lebih baik daripada tidak berusaha langsung memperbaiki keadaan.
Semoga kesilapan tersebut yang kini telah diperbetulkan dengan Nurul Izzah sendiri mengundur diri adalah suatu yang berguna untuk Anwar pelajari dalam menempuh hari-hari mendatangnya yang masih panjang serta banyak lagi cabaran sebagai Perdana Menteri.
Menjadi pemimpin, terutama Perdana Menteri, selain menunaikan janji, sama pentingnya ialah tidak lupa dengan apa yang pernah diperjuangkan dan kita sendiri mengecamnya selama ini.
Rakyat sentiasa memerhati, walaupun kadangkala dengan kuasa yang dimiliki, pemimpin selalu sangat terbuai dan lupa diri. – ShahbudinHusin 12/02/2023.