PENDAKWAAN KERANA KESALAHAN MEMANG ADA PADA WAN SAIFUL, BUKAN DISEBABKAN ZAHID HAMIDI JADI DALANG ATAU ANWAR SEORANG PENDENDAM

 

Dalam reaksi awalnya berhubung pertuduhan rasuah RM6.9 juta terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkaitan projek Jana Wibawa, Presiden Bersatu Mahiaddin Md Yasin menuduh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang di sebaliknya.

Katanya, beliau percaya, pendakwaan kes mahkamah terhadap Wan Saiful itu didalangi Zahid Hamidi yang bertujuan untuk melemahkan partinya.

Katanya, sebelum ini terdapat kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Zahid Hamidi seolah-olah menjadi bentuk percubaan untuk menuduh Bersatu sebagai puak “kluster mahkamah”.

“Selepas ini akan ada kluster baru mahkamah juga. Jadi itu merupakan satu perkara yang dah awal-awal ‘pre-attempt’.

“Jadi apa yang berlaku adalah perkara yang saya fikir (sudah) dirancang dan terancang,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Muhyiddin seterusnya berkata dalang itu diusahakan antara BN dan PH yang tidak senang dengan sokongan rakyat terhadap PN yang semakin kuat pada PRU15 lalu. 

Atas sebab itu, katanya, pendakwaan Wan Saiful pada hari ini adalah pendakwaan terpilih dan parti itu sudah menjadi sasaran untuk dilemahkan.

Beberapa pemimpin PN yang lain kemudiannya secara berduyun-duyun juga menyifatkan pendakwaan terhadap Wan Saiful adalah suatu bentuk pendakwan terpilih terhadap blok pembangkang.

Mereka berkata, ia menunjukkan Anwar mempunyai sifat pendendam terhadap PN.

Malah Wan Saiful sendiri menyifatkan pendakwaan terhadapnya adalah suatu bentuk pendakwaan terpilih.

Katanya, mereka melakukan pendakwaan terpilih itu bertujuan mengalih perhatian terhadap kegagalan kerajaan perpaduan mentadbir negara.

Hoi…hoi ya hoi…

Atas apa alasan sekali pun cubaan untuk membela Wan Saiful, baik ia dikatakan didalangi Zahid Hamidi, pendakwaan terpilih, dendam Anwar atau apa saja, satu hakikat yang semua orang harus sedar ialah ada kesalahan atau perlanggaran undang-undang telah dilakukan oleh Ketua Penerangan Bersatu itu.

Siapa suruh dia minta dan ambil rasuah sebanyak RM6.9 juta daripada seorang tauke Cina yang dibantunya untuk mendapatkan projek Jana Wibawa itu?

Ehhh…bukankah Jana Wibawa adalah singkatan perkataan – Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa – tapi bagaimana tauke syarikat yang berurusan dan memberinya wang rasuah RM6.9 juta untuk projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” itu bernama Lian Tan Chuan?

Tidakkah ini suatu pengkhianatan kepada agenda ekonomi Bumiputera?

Kemudian, kenapa wang rasuah itu dimasukkan ke dalam akuan bank milik syarikat peribadinya sendiri?

Perkara pokok yang perlu difahami di sini, jika Wan Saiful tidak meminta dan tidak menerima wang RM6.9 juta itu dan tidak pula memasukkannya ke dalam akaun syarikatnya sendiri, sudah tentu mustahil sesuatu tindakan dapat diambil terhadapnya.

Bolehkah direka-reka tuduhan jika kesalahan tidak dilakukan oleh Wan Wan Saiful sendiri?

Bolehkah ia dikata pendakwaan terpilih, kerana dendam Anwar kepada PN atau didalangi Zahid Hamidi, sedangkan Wan Saiful sendiri didapati oleh SPRM telah melakukan kesalahan?

Bukankah jika SPRM tidak mendakwa Wan Saiful, sedangkan ada kesalahan telah dikesan dilakukannya, maka itulah sebenarnya dinamakan pendakwaan terpilih?

Untuk itu, kepada Mahiaddin dan lain-lain pemimpin PN, sebelum cuba mencari helah dengan menyalahkan orang lain sebagai dalang, dendam atau pendakwaan terpilih, lebih baik “hempuk” dulu Wan Saiful atas perbuatannya itu. – ShahbudinHusin 21/02/2023.