MELURUSKAN KEMBALI PERJUANGAN REFORMASI

 

Apabila Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 ia bermakna perjuangan reformasi kini memasuki tahaf yang kedua.

Dari fasa di luar kerajaan – menuntut perubahan atas jalan raya dan di blok pembangkang di dalam Parlimen, sekarang perjuangan reformasi berada di tengah-tengah kota pentadbiran di Putrajaya.

Hari ini, perjuangan reformasi berada di tahaf perlaksanaan.

Institusi yang penting sekarang ialah Perkhidmatan Awam yang diterajui oleh pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Perkhidmatan Awam ini adalah teras kepada Badan Eksekutif yang bertanggungjawab melaksanakan segala dasar-dasar reformasi Anwar Ibrahim yang kini diberi jenama baru Malaysia Madani.

Menentang rasuah adalah agenda utama pentadbiran Anwar Ibrahim. Menyelamatkan wang negara, mencegah ketirisan dan langkah-langkah berjimat dalam pentadbiran kerajaan adalah contoh-contoh pengumuman positif yang disambut baik oleh rakyat. Termasuklah menentang kronisme dan segala bentuk nepotisme.

Rakyat percaya kepada integriti Anwar Ibrahim. Rakyat menutup sebelah mata apabila Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Rakyat memberi tafsiran mereka sendiri bahawa Anwar Ibrahim dalam keadaan tiada pilihan. Rakyat memaafkan. Rakyat sayang pada Anwar. Rakyat faham dan akur, kecuali pihak pembangkang dan pengkritik termasuk si penulis ini.

Rakyat mahu Anwar Ibrahim berjaya sebagai Perdana Menteri. Rakyat mahu Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim ini stabil dan tidak tumbang.

Rakyat ingin beri peluang kepada Anwar. Rakyat menutup sebelah mata lagi apabila Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan. Rakyat bersangka baik kepada Anwar. Rakyat amat percaya kepada tokoh reformasi ini.

Kesangsian tentang bahayanya jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang sama, semakin berkurangan kedengaran apabila Anwar mengambil beberapa langkah meyakinkan untuk menjaga kewangan dan ekonomi negara.

Tetapi apabila Anwar melantik anaknya sendiri menjadi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya sebagai Perdana Menteri, maka banyak pihak yang telah mengangkat bendera merah tanda bahaya.

Anwar Ibrahim sebagai peribadi tiada masalah sebenarnya. Sikap amanah dan intergritinya dalam soal kewangan dan ekonomi adalah terpuji.

Pernah menjadi Menteri Kewangan yang terbaik. Dia tidak pernah terkait dengan isu rasuah, pecah amanah jenayah ataupun pengubahan wang haram.

Tetapi yang kita bicarakan di sini bukan soal peribadi tetapi ialah soal sistem tatakelola pentadbiran atau sering disebut “good governance”. Malaysia menuntut sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti.

Sebenarnya, ini adalah intipati perjuangan reformasi pentadbiran yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim berserta ratusan ribu penyokongnya di seluruh negara selama ini.

Benarlah ini satu cabaran. Perjuangan reformasi yang berliku-liku dan kadang-kadang berlengkang-lengkok selama hampir suku abad ini yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-10 kita ini sudah sampai masanya untuk diluruskan kembali.

Adalah diharapkan tulisan ini dapat dibaca oleh Anwar Ibrahim sendiri dan sekian penyokongnya yang begitu ramai berdoa agar Anwar Ibrahim dapat menyelamatkan rakyat dan negara tercinta ini.

Gading mana yang tak retak. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Begitu juga, pemimpin mana yang tidak berbuat silap, sama ada kecil ataupun besar.

Justeru itu, Penulis berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim timbanglah semula, fikirlah semula. Kalau ada yang perlu diperbetulkan, betulkanlah sebelum terlambat atau melarat-larat yang besar padah dan mudaratnya. Kita tidak mahu itu berlaku.

Tulisan ini tiada niat mencemar nama baik Anwar Ibrahim sebagai pemimpin. Tulisan berterus terang ini lahir dari hasrat ingin melihat Anwar Ibrahim selamat dalam memimpin kerajaannya.

Ia datang bukan dari seorang pembangkang atau pengkritik. Tulisan ini datang dari seorang sahabat dan rakan seperjuangan selama ini.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

31 Januari 2023