Itu gambar lama, Anwar bukan ke Doha untuk makan nasi Arab, kata Hassan.Jadinya yang mengarang cerita sila jawab la ya...


Hassan Karim berkata, gambar ini diambil di rumah seorang kerabat rapat pemerintah Qatar pada 2019 yang menghidangkan nasi Arab berlauk kambing kepada Anwar Ibrahim dan rombongannya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR berkata, gambar tular Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjamu selera di depan dulang besar adalah gambar lama pada 2019 ketika beliau ke Doha atas jemputan perdana menteri Qatar.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, lawatan itu diadakan selepas Anwar memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober 2018, di mana dirinya antara beberapa Ahli Parlimen PKR yang turut menyertai rombongan itu.

Katanya, Anwar turut dipelawa menghadiri satu persidangan antarabangsa memperingati tokoh Islam Malek bin Malek, selain menziarahi tokoh ulama Islam Yusuf al-Qaradawi.

“Anwar dan rombongannya bukan ke Doha, Qatar untuk makan nasi Arab dalam dulang besar.

“Gambar ini diambil di rumah seorang Sheikh, iaitu kerabat rapat pemerintah Qatar. Anwar dan rombongannya sebelum pulang ke Malaysia telah dijemput oleh Sheikh itu singgah ke rumahnya sebelum ke lapangan terbang Doha untuk pulang ke tanah air.

“Sebagai tetamu, Anwar dan rombongannya pun terperanjat dengan hidangan hebat seperti dalam gambar itu. Kami makan bersila dalam pinggan yang kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing, bukannya unta,” jelasnya dalam catatan di Facebook.

Semalam, pemilik akaun Facebok Sam MY memuat naik gambar Anwar sedang makan bersama beberapa individu dan mendakwa rakyat disuruh makan Menu Rahmah sedangkan perdana menteri menikmati hidangan nasi mewah dalam dulang besar.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis menyiasat hantaran itu yang disifatkannya berniat jahat dan sengaja menimbulkan prasangka terhadap perdana menteri dengan menyiarkan gambar lama.

Hassan meminta laporan polis tidak dibuat terhadap penyebar gambar itu kerana “kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan rasional”.

“Saya ceritakan ini semua untuk menegakkan fakta dan kebenaran untuk melindungi nama baik Anwar daripada difitnah sesuka hati. Kebenaran pada saya adalah dinding kepada fitnah.”