PM harus sedar rakyat akan menuntutnya bekerja dengan piawaian lebih tinggi
ANWAR IBRAHIM OFFICIAL/FACEBOOK
Selamat tahun baru lunar kepada semua yang menyambut. Aliran
berharap Tahun Arnab kali ini akan membawa keamanan, perpaduan dan keadilan
untuk semua.
Hari ini, 31 Januari 2023, adalah hari ke-69 sejak Anwar Ibrahim
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Sejak dua bulan lalu,
beliau telah memikul tanggungjawabnya tanpa canggung walaupun dengan hampir
tidak sempat untuk ‘berbulan madu’.
Namun, bertahun-tahun lamanya Anwar berkhidmat dalam kerajaan
dan sebagai ketua pembangkang (termasuklah beberapa tempoh di dalam penjara)
telah membentuk beliau menjadi ahli politik berpengalaman seperti hari ini,
cukup sesuai bagi memegang jawatan selaku PM.
Dalam meningkatkan hubungan dengan negara jiran, PM telah
memilih dengan teliti bagi melawat Indonesia, Brunei dan Singapura – susunan
ini mungkin mencerminkan apa yang menjadi keutamaannya.
Walaupun beliau mengutamakan dasar berasaskan keperluan manakala
dasar berasaskan kaum dan agama tidak terlalu ditekankan, beliau juga pada
waktu sama tidak boleh dilihat meminggirkan atau memperleceh kepentingan Islam.
Beliau barangkali sedar bahawa beliau tidak boleh mengabaikan
‘gelombang hijau’ yang berlaku pada pilihan raya umum tahun lalu.
Seperti yang ditegaskan oleh artikel Azmil
Tayeb yang dikeluarkan Aliran sebelum ini, “hampir 90% orang
Melayu mengundi gabungan Melayu-Islam PN [Perikatan Nasional] dan Barisan
Nasional yang dikuasai Umno manakala 90% daripada etnik Cina dan 75% daripada
etnik India mengundi Pakatan Harapan.”
Jadi Anwar dan pasukannya mempunyai perjuangan yang sukar untuk menangani jurang etno-agama yang serius di negara ini. Mereka mesti mempamerkan, melalui dasar dan tindakan mereka, bahawa mereka ikhlas dalam mendekati semua orang yang memerlukan, terutamanya golongan miskin.
Jika kerajaan memberi tumpuan kepada golongan terpinggir,
golongan miskin di kalangan kedua-dua etnik Melayu dan etnik lainnya, bantuan
sudah pasti akan sampai buat mereka yang memerlukan.
Kebimbangan di kalangan ramai orang Melayu bahawa kaum minoriti
akan menguasai ekonomi sehingga menjejaskan golongan mereka sangat memerlukan
perhatian dan penjelasan yang teliti.
Kerajaan pimpinan Anwar melancarkan konsep madani pada 19 Januari dengan tujuan bagi menyediakan prinsip asas bagi merancakkan ekonomi dan memampankan pembangunan bagi manfaat semua rakyat, tanpa mengira kaum, etnik atau agama.
Konsep “Malaysia madani” (masyarakat sivil) menggagaskan sebuah
negara yang menekankan kemanusiaan dan nilai-nilai murni seperti tadbir urus
yang adil, saksama dan berkesan.
Madani merupakan akronim yang digubah daripada enam nilai teras
yang mendasarinya – kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan
belas kasihan.
Dalam menjelaskan konsep Malaysia madani, PM menegaskan bahawa
pertumbuhan dan pembangunan mesti dicapai di dalam konteks ekonomi
berperikemanusiaan yang mengutamakan keperluan rakyat.
“Malaysia mesti dikenali sebagai negara madani yang makmur, adil
dan menolak sebarang bentuk kezaliman terhadap mana-mana individu atau kaum. Ia
mesti menjadi sebuah negara yang terkenal dengan semangat baharu,” kata Anwar.
Enam nilai murni di bawah konsep madani sememangnya wajar
disokong oleh semua pihak yang percaya kepada keadilan dan kesaksamaan untuk
semua.
Namun, ia harus dibuktikan. Anwar dan pasukannya perlu
berhati-hati dengan program dan dasar yang bertentangan dengan nilai madani.
Misalnya, kontroversi baru-baru ini di Sekolah Menengah
Kebangsaan Infant Jesus Convent di Johor Bahru mengenai program khas bagi
pelajar lemah yang terdiri daripada kaum Melayu tingkatan lima yang sedang
mempersiapkan diri untuk peperiksaan SPM.
Sekiranya program khas itu dibenarkan kepada semua pelajar
tingkatan lima yang lemah dalam pelajaran tanpa mengira etnik mereka,
pasti tidak akan ada
kekecohan oleh ibu bapa pelajar dari kaum lain.
Tindakan telah dilaksanakan di sekolah itu sekarang bagi
menguruskan isu ini: pengurusan sekolah mengumumkan ada nada sesi berasingan
bagi pelajar lemah dari etnik lain.
Persoalan besarnya ialah, apa keperluan untuk mengasingkan
pelajar mengikut etnik pada awalnya? Sekolah adalah tempat yang sesuai untuk
memupuk persahabatan dan ikatan muhibah.
Dengan motivasi yang sesuai, para pelajar, tanpa mengira etnik
atau agama, akan bergaul dengan baik sekali gus memupuk semangat setiakawan
yang selalunya kekal seumur hidup..