Hukuman gantung 6 bulan bertukar pecat keahlian selepas Noh Omar cabar Zahid.
KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memecat keahlian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Keputusan itu dibuat selepas bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memecat keahliannya terus daripada parti, selepas MKT memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Noh yang juga Ahli MKT UMNO ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu di sini, malam ini.
Katanya, ketika cabaran dibuat kepada Ahmad Zahid itu, tiada ahli MKT yang memberi maklum balas kecuali Ahmad Zahid.
"Lain-lain semua diam, tetapi dia (Ahmad Zahid) cakap OK. Dengan ini saya dipecat serta-merta," katanya.
Dalam pada itu, Noh turut memaklumkan, selain dirinya ramai lagi pemimpin parti itu yang dilihat sebagai 'mensabotaj' UMNO turut dikenakan tindakan oleh parti sama ada dipecat atau digantung keahlian.
Namun, beliau tidak memperincikan bilangan atau identiti pemimpin yang dikatakannya sebagai terbabit dalam tindakan yang diputuskan parti itu.
Apa pun, Noh berkata, perkara itu ada diumum sendiri Presiden UMNO melalui ucapan mukadimah ketika Mesyuarat MKT malam ini.
"Malam ini, sejarah bagi saya kerana tadi dalam ucapan mukadimah, Presiden (Ahmad Zahid) sudah mengumumkan berapa yang dipecat dan digantung.
"Dalam makluman itu, tiba-tiba tersenarai nama saya, digantung enam tahun" Ramai lagi tersenarai, tunggu sahajalah saya tidak mahu umum (berapa ramai dan siapa yang dikenakan tindakan)," katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan MKT ke atasnya, Noh mempersoalkan pergantungannya disebabkan beliau baru sahaja mendapat surat untuk hadir ke Lembaga Disiplin parti.
"Persoalannya undang-undang apa yang digunakan, undang-undang rimba atau hantu. Ikut suka hati (undang-undang apa sekalipun), kerana saya sudah mendapat surat daripada Lembaga Disiplin untuk hadir pada 2.30 petang Isnin ini, tetapi saya tersenarai digantung hari ini.
"Mengapa keputusan dibuat, dia kata lepas jumpa Lembaga Disiplin. (Hakikatnya) Lembaga Disiplin belum bermesyuarat, tetapi saya sudah pun digantung enam tahun.
"Macam inilah UMNO, tindakan sesuka hati dan ini merupakan hinaan kepada Lembaga Disiplin," katanya yang mengesahkan tidak lagi akan bertemu Lembaga Disiplin.