Ketua Penerangan Pas jangan pesong kenyataan PM – AMK
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia membidas Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin yang didakwa cuba memesongkan maksud sebenar kenyataan ucapan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu forum di Indonesia baru-baru ini.
Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Munim berkata walaupun syarahan umum Anwar pada forum Kepimpinan CTCORP itu mendapat pujian ramai terutamanya dalam kalangan pemimpin Indonesia, Khairil Nizam ternyata gagal mencerapi intipati ucapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
“Ucapan PM di Jakarta baru-baru ini adalah ayat contoh menggambarkan keadaan semasa tentang penguasaan ilmu pelbagai dan bahaya pemusatan kepakaran, tiada langsung kena mengena dengan serangan ke atas pengguna media sosial.
“Hakikatnya, tidak ada pihak yang terguris melainkan mereka yang benar-benar terkesan dengan mesej yang disampaikan.
“Khairil Nizam kelihatannya sengaja menggagalkan diri untuk memahami syarahan tersebut.
“Beliau memilih untuk bertindak bermain politik dengan emosi dan sentimen tanpa fakta, tindakan yang saling tidak tumpah seperti yang sering dipamerkan oleh presiden partinya,” kata Kamil dalam kenyataannya.
Khairil Nizam sebelum ini mendakwa ucapan Anwar yang menyentuh mengenai minat membaca dalam kalangan anak muda sebagai merendah-rendahkan daya intelektual rakyat Malaysia.
Dia turut mendakwa ucapan itu menyerang pengguna laman sosial terutama TikTok yang dakwanya secara majoriti membuat keputusan menolak kepimpinan PH – BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Kenyataan itu menimbulkan persoalan, adakah Ketua Penerangan Pas hanya berminat mengulas isu-isu berkaitan tabiat pengguna media sosial kegemaran sesetengah mereka, yang dirasakan memihak kepada naratif mereka.
“Perdana Menteri sendiri menyebut tabiat dan kecenderungan anak muda terhadap penggunaaan media sosial, ada sisi positifnya dan menolak untuk mengambil sikap menyerang kerana ia tidak lebih daripada soal budaya anak muda mengikut peredaran zaman.
“Maka apa yang digambarkan Ketua Pemuda Pas itu hanya bersifat memesongkan kenyataan sebenar PM,” tegas Kamil.
Selain itu, beliau menggesa Khairil Nizam agar belajar adab dan kualiti dalam mengeluarkan kenyataan sesuai kedudukannya dalam parti.
Beliau juga meminta Khairil meninggalkan budaya fitnah dan pemesongan fakta supaya tidak membebankan fikiran rakyat yang terpaksa membuang masa melayan karenah politik toksik yang tidak berkesudahan di negara ini.
“Sebagai pemimpin muda dalam Pas, Khairil seharusnya menggunakan ruang yang ada untuk membawa pendekatan politik yang lebih segar dan matang.
“Namun jelas, kebencian Pas dan PN terhadap sosok PM telah mengatasi keperluan politik dan ekonomi semasa, yang menuntut semua pihak untuk mencari jalan keluar daripada kemelut politik (toksik) yang melanda,” katanya.