Kerajaan hilang wang RM4 bilion, siasat segera
Pendedahan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan telah kehilangan RM3 – RM4 bilion akibat ketirisan seharusnya segera disusuli oleh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis dan sebagainya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata rakyat dan para Ahli Parlimen amat menyokong siasatan segera untuk membanteras ketirisan itu.
“Saya ingin mengingatkan pendedahan demi pendedahan hal rasuah, ketirisan dan kebocoran tidak akan sampai ke mana-mana jika tiada siasatan dan pendakwaan dilakukan.
“Yang diperlukan ialah siasatan secara forensik ke akar umbi hal ketirisan dan kebocoran itu. Sebab ini duit negara dan duit rakyat,” katanya.
Hassan turut mengingatkan agar pasukan pendakwa mesti menjalankan tugas dengan cakap dengan menyediakan kes yang kukuh ke mahkamah setelah siasatan selesai.
Hanya dengan kes yang kukuh sahaja katanya, penjenayah kolar putih berkenaan tidak akan terlepas.
“Walau apa pun, permulaan yang baik dan positif telah diambil oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Maka agensi-agensi lain seperti SPRM, PDRM dan Jabatan Pendakwa Raya serta Peguam Negara tidak boleh sekadar berpeluk tubuh sahaja,” katanya lagi.
Kelmarin dalam kenyataannya PM berkata berlaku ‘kebocoran’ kewangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion sejak dua bulan beliau berada di Kementerian Kewangan.
Kebocoran itu, katanya pergi kepada kepada parti, dan tokoh politik dalam kerajaan sebelum ini.