Memang telah dijangka, KJ akan dipecat oleh Umno. Salahnya bukan
sedikit. Dia dipecat bukan kerana perbezaan pendapat atau tidak menyokong
keputusan PAU baru-baru ini yang menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden Umno tidak dipertandingkan. Bukan sebab itu.
KJ dipecat kerana memburukkan presiden dan partinya sendiri sewaktu
di dalam kempen PRU15 yang lalu. Meskipun beliau diberikan watikah oleh
Presiden Umno, Zahid Hamidi untuk bertanding di Parlimen Sg Buloh, namun di
dalam kempen beliau secara terang-terang beliau memburukkan Presiden dan
partinya sendiri sehinggakan bukan sahaja beliau tewas di Sg Buloh, tetapi
menyebabkan beberapa calon dari Umno/Bn turut tewas. Maka, wajar sangatlah
parti beliau memecatnya.
Peliknya, mengapa ada suara-suara sumbang di dalam parti
Keadilan mahu mengutip orang seperti ini? Jika parti yang bapa mertuanya
sendiri pernah jadi Presiden dan beliau sendiri puluhan tahun bersama parti
tersebut sanggup beliau hina, apa jaminan beliau tidak boleh lakukan kepada
parti Keadilan nanti? Di dalam parti Keadilan ini pun masih ada saki baki yang
pernah kutuk dan hina Presiden tetapi masih terselamat, maka tidak perlulah
kita tambah lagi orang seperti ini.
KJ juga telah menempa nama yang buruk di mata rakyat terutamanya
sewaktu beliau menjadi menteri di KKM di bawah kerajaan tebuk atap sebelum ini.
Isu vaksin sewaktu Covid banyak kontroversi yang hingga kini dipersoalkan.
Apakah Keadilan mahu memikul biawak hidup? KJ sedikit pun tidak akan membantu
memperkuatkan Keadilan bahkan Keadilan akan terpalit dengan sejarah hitamnya.
Saya harap Keadilan tidak perlu jadi 'pengutip sampah' . Jangan
pelihara 'musuh' kawan kita di dalam rumah kita. Hormatilah kawan kita
sebagaimana kita mahu kawan kita hormati kita.
WFAUZDIN NS