KERAJAAN akan sentiasa memastikan tadbir urus yang baik dengan menegakkan prinsip integriti terutamanya menolak amalan rasuah, bagi memastikan perancangan kemajuan negara dapat direalisasikan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata semua pihak yang menganggotai kerajaan perpaduan telah diberi hala tuju yang jelas, mengenai perkara itu.
“Kita bagi peraturan yang jelas, kalau mahu kuat (stabil) dan mendapat sokongan rakyat, pemimpin mesti tolak rasuah dan salah guna kuasa.
“Dalam hal ini saya tegas, kalau mahu kaya, keluar dan jadi orang berniaga bukan jadi menteri, kerana jika demikian negara akan rosak,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di bangunan KLSCAH, di Kuala Lumpur hari ini.
Kehadiran Anwar yang diiringi isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke majlis itu, disambut Presiden KLSCAH Ngan Teng Ye serta kepimpinan tertinggi KLSCAH.
Anwar berkata sehubungan itu beliau memperkenalkan Malaysia Madani, kerana yakin potensi besar Malaysia hanya boleh dioptimumkan jika prinsip integriti ditegakkan, tiada amalan rasuah, manakala pemimpin atau menteri tidak berlumba mengumpul kekayaan.
Perdana menteri berkata beliau tegas mengenai perkara itu, dan setakat ini semua ahli jemaah menteri memahami hala tuju yang digariskan dan konsisten melaksanakan tadbir urus yang baik.
“Malaysia ini sebuah negara kaya dengan kemampuan yang banyak, tetapi jika pimpinannya masih dengan cara lama, negara akan rosak.
“Tetapi dalam tempoh dua bulan ini, saya nampak semua jemaah menteri konsisten melaksanakan tadbir urus baik, tiada amalan rasuah dalam urusan dan pentadbiran kementerian masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, perdana menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada pimpinan dalam kerajaan perpaduan, sama ada dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, yang dari segi prinsip kesemuanya amat tegas dan tidak bertolak ansur dengan perbuatan rasuah.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan untuk terus memberi tumpuan kepada memperkasakan sektor perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.
Perdana menteri berkata PKS merupakan antara sektor yang perlu diberi tumpuan khusus oleh kerajaan selepas menerima kesan buruk sepanjang dua tahun negara berhadapan penularan pandemik Covid-19.
Bagi tujuan itu, Anwar menyeru agar seluruh lapisan masyarakat memantapkan semangat perpaduan dan mengenepikan sebarang perbezaan kaum, serta menumpukan segala usaha untuk membangunkan ekonomi negara secara bersama.
“Dalam sebulan ini saya lihat pelabur dari negara China, Eropah, Amerika, India dan Australia begitu berminat untuk datang ke Malaysia… oleh yang demikian, amat penting untuk mengekalkan keharmonian agar Malaysia terus kekal sebagai tarikan pelaburan,” katanya. – Bernama, 22 Januari 2023.