ALANGKAH CANTIKNYA JIKA ANWAR DIJEMPUT MERASMIKAN PAU2022 PADA 13 JANUARI INI

 

Dua hari lalu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli telah ditanya berkenaan kemungkinan PKR dijemput menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2022 pada 13 Januari ini.

Beliau berkata, setakat ini PKR belum menerima sebarang jemputan lagi daripada UMNO.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diputuskan secara bersama di peringkat parti jika menerima jemputan itu nanti.

“Tak usah terburu-buru. Kalau dapat jemputan, prosesnya ialah akan dibawa ke biro politik dan biro politik akan buat keputusan.

“Saya tunggu kalau perkara itu telah dihantar secara rasmi,” jelasnya.

Secara umumnya, sejak minggu-minggu kebelakangan ini menjelang tibanya PAU2022 bakal dilangsungkan kira-kira dua minggu lagi, perkara itu memang menjadi tajuk perbualan yang agak hangat diperkatakan.

Sebagai tanda kesepakatan dan keharmonian setelah bersetuju bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan, UMNO dirasakan perlu menjemput PKR yang menunjangi PH dan kerajaan untuk hadir dalam majlis perasmian PAU2022 itu nanti.

Apatah lagi gandingan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan sendiri dipegang oleh PKR dan UMNO.

Dengan itu, dirasakan bukan sekadar PKR harus dijemput, malah ramai yang menjatuhkan hukum wajib untuk Anwar selaku Perdana Menteri untuk hadir dalam PAU kali ini.

Dalam hal ini, sebenar-benarnya jika Anwar dijemput hadir ke PAU2022, kehadiran beliau sewajibnya ialah sebagai perasmi dan bukan sekadar jemputan khas semata-mata.

Ini kerana beliau hadir sebagai Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan perpaduan di mana UMNO adalah salah satu komponennya.

Amatlah janggal jika Perdana Menteri dijemput hadir, tetapi hanya duduk saja dan tidak memberikan ucapan perasmian dan sekadar mendengar Timbalan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO menyampaikan ucapan.

Yang cantiknya, setelah Anwar membuat ucapan perasmian, barulah selepas itu disusuli dengan ucapan dasar oleh Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

Lagi pula, selama ini pun, sebelum UMNO hilang kuasa, setiap kali PAU diadakan ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri yang juga merangkap Presiden UMNO.

Oleh kerana keadaan sudah berubah, apa salahnya PAU kali ini kembali dirasmikan oleh seorang Perdana Menteri, walaupun beliau bukan merupakan Presiden UMNO?

Yang penting, dengan seorang Perdana Menteri merasmikan PAU2022 kali ini, ia akan menaikkan lagi nilai UMNO di mata rakyat keseluruhannya kerana langkah itu akan memperlihatkan UMNO sebagai parti yang terbuka, progresif serta tidak jumud.

Di mata ahli dan perwakilan UMNO pula, sejak 2019 di mana PAU tidak dirasmikan oleh pemimpin yang bertaraf Perdana Menteri, kali ini tentu ada sedikit rasa bangga jika Anwar yang merupakan Perdana Menteri merasmikannya.

Daripada sudut yang lain, Anwar adalah berbeza dengan Perdana Menteri yang bukan daripada UMNO sebelum ini yang mana mereka didapati ada niat mahu mengharamkan parti tersebut.

Sebagaimana didedahkan oleh Zahid Hamidi beberapa minggu lalu mengenai cubaan mengharamkan parti itu yang dipatahkan oleh seseorang yang beliau tidak sebut namanya, orang yang dimaksudkannya itu adalah merujuk kepada Anwar.

Anwar pernah menyebut bagaimana ketika Tun Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri, beliau dengan segera menemui Mahiaddin Md Yasin, Menteri Dalam Negeri ketika itu sebaik mendengar ada ura-ura mahu UMNO diharamkan.

Anwar dilaporkan memberitahu Mahiaddin yang fail untuk mengharamkan UMNO itu dilaporkan ada padanya ketika itu agar jangan mengambil tindakan demikian dengan hujah parti tersebut banyak berjasa kepada orang Melayu dan keberadaannya dalam politik negara hendaklah dikekalkan.

Dalam hal berkaitan, Zahid Hamidi juga pernah menyebut bagaimana beliau menolak gesaan Tun Mahathir agar membubarkan UMNO dan semua ahlinya menyertai Bersatu.

Berdasarkan rentetan itu, tambahan lagi sejarah politik Anwar sendiri bermula dan berkembang dalam UMNO sehingga memegang jawatan Timbalan Presiden, menjemputnya untuk merasmikan PAU2022 atas kapasiti sebagai Perdana Menteri bukan saja tidak janggal, malah suatu sejarah yang terpuji.

Yang pasti, bila Anwar merasmikan PAU2022 nanti, ramailah yang berdarah mata menyaksikannya, terutama Tun Mahathir yang memecat beliau daripada UMNO pada 1998 dahulu. – ShahbudinHusin 02/01/2023.