Setiap kosa kata yang pilih, dengan wewenang apa pun, ia tidak
akan dapat mengubah apa dan/atau apa-apa lagi.
Arakian, ada yang memilih bucu kiasan atau kata sinis di dalam
memberi pandangan, itupun masih menuju kepada KALAU.
Nota berfakta, sama ada melalui angka dan nombor menerusi
penyata keputusan rasmi, jika dicerakinkan sehalus-halusnya, akan sampai kepada
kesimpulan siapa yang paling banyak digit, dia memang.
Kita harus akui terlebih dahulu bahawa Negara kita menggunakan
sistem FPTP (“First Past The Post”) iaitu kaedah pertandingan undi majoriti.
Kendatipun hanyasanya majoriti 1, yang menang akan tetap menang, ‘kacawali’
di’reverse’ atau diarah untok pemilihan semula oleh Mahkamah.
Ini bermakna, sesiapa yang memperoleh Undi tertinggi maka dia
adalah pemenang di kerusi tersebut, walaupun beza undi dengan pesaing keduanya
1 undi.
Adapun kejayaan dalam tajuk Undi Popular pula, ia cocok bagi
negara yang mengamalkan sistem Kesaksamaan Perwakilan atau ‘Proportionate
Representation atau ringkasnya sistem PR.
Semalam, seramai 1,426,573 Pemilih di Johor telah keluar
mengundi daripada 2,539,606 Pemilih Berdaftar.
Seperti yang diketahui, BN berjaya meraih 40 kerusi DUN dengan
599,753 undi secara keseluruhan dan Oposisi pula memenangi Baki 16 kerusi DUN
yang membawa kepada kumulatif Undi Popular sebanyak 826,820 undi.
PRU Negeri Melaka dan Sarawak telah dengan jelas memberi angka
bahawa kadar peratusan keluar mengundi adalah rendah berbanding dengan PRU
2018. Di Melaka kadar peratus Pemilih yang keluar mengundi adalah 65.85%
manakala di Sarawak 60.67% berbanding di Johor semalam sebanyak 54.92%. Pola
ini, jika dilihat, kadar peratus keluar mengundi semakin menurun dari Melaka ke
Sarawak hinggalah ke Johor.
Bagi Parti-Parti pula, bacaan pola dan kadar penurunan peratus
keluar mengundi ini, mestilah dilihat dengan jujur dan strategi yang sesuai
atau cocok dengan anggaran paling hampir kepada sasaran jangkaan.
Parti-Parti juga harus memperakui bahawa, kesatuan, pakatan atau
gabungan melalui persefahaman kerjasama pilihan raya (“Electoral Pact”) di
kalangan oposisi mestilah mengambil kira kejayaan pada 2018.
Parti-Parti Oposisi mestilah bersetuju bahawa sekarang ini
masing2 mempunyai ‘Musuh Politik’ (“Common Enemy”) yang sama. Bergerak dari
podium itu, pertemuan bagi mencari titik temu yang boleh membawa kepada satu
tapak yang seterusnya, mestilah segera diusahakan.
Saya percaya, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang telah terbukti
dan teruji dengan aspek ‘Persahabatan dan Persefahaman Parti-Parti Oposisi’,
boleh menjadi ‘Orang Tengah’ sekali lagi, demi mencapai matlamat menumbangkan
musuh yang sama.
Sudah pasti, akan ada pengorbanan yang ‘terpaksa’ ditempuhi oleh
pihak-pihak, terutamanya dalam soal ‘ego dan prinsip’ Parti-Parti Oposisi,
namun saya percaya, KITA SEMUA SEBAGAI OPOSISI akan berjaya melaluinya dengan
bersama-sama.
Suka untuk saya ingatkan diri sendiri dan teman-teman, pra
kepada PRU Ke-14 pada 2018, kita memerlukan masa 2 tahun untuk membentuk dan
membina KEPERCAYAAN orang awam kepada sebuah kerjasama. Dari tahun 2016, tapak
nombor wahid itu dimulakan, pertemuan demi pertemuan direncanakan, sehinggalah
kemuncak pada 7 Januari 2018 di satu Konvensyen, kita sama-sama saksikan satu
Perjanjian yang menatijahkan kejayaan pada 9 Mei 2018.
Apapun ‘Nama Kesatuan’ itu selepas ini, saya tatang denai dan
liku buat GABUNGAN SUARA MALAYSIA ini, BERPAKATLAH & BERSATULAH demi Negara
tercinta.
ABANG KERDEE
Setiausaha Organisasi AMANAH