PETALING JAYA: Keputusan tidak rasmi menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Johari Hussain menang kerusi DUN Tioman.
Keputusan itu menyaksikan Johari yang juga penyandang tiga penggal mempertahankan kerusi berkenaan sekaligus mengekalkan status quo BN di DUN berkenaan.
Setakat jam 4 petang SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi DUN Tioman adalah sebanyak 54%.
Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang calon Bebas.
Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.