Satu penulisan yang menarik dari dr Zulqarnain Lukman...


POLITIK LUAR TABII

 

Entah mengapa apabila membaca tulisan YB Ahli Parlimen Marang bertajuk “TOLAK PEMIMPIN BERBOHONG DAN MENIPU” ini terasa banyak perkara yang tidak tepat. Malah, tulisan beliau ini banyak menzahirkan kekecewaan tersirat akibat parti PN tidak dapat membentuk kerajaan. Walaupun banyak perkara yang tidak tepat itu boleh diperbetulkan tetapi biarlah pihak yang lain membuat komentar terhadap perkara-perkara lain yang tidak tepat itu.

 

Tulisan ini hanya ini memfokuskan kepada petikan perenggan yang mana beliau menyatakan:

 

“Walaupun PN telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang, dengan mencapai kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi. Malangnya, ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum.

 

DAP dan rakan-rakannya terus melatah tidak mampu mengawal perasaan kebenciannya terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, apabila membawa isu mengenai bahaya gelombang hijau. Perkara ini sekali gus mendedahkan warna kemerahan anti-Islam yang ada dalam diri mereka bersama parti-parti lain, laksana gerobak kereta api di belakangnya yang sebenarnya membawa bahaya kepada negara dan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam masyarakat majmuk ini.   

Apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus, tiba-tiba mereka berhujah dengan mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh penjajah pada zaman dahulu dengan menonjolkan isu melawan raja bukannya melawan penjajah.”

 

Tulisan penuh boleh dilihat di link berikut:

 

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=715216953295715&id=100044222510324&mibextid=Nif5oz

 

Perkara pertama adalah bahawa semua parti yang bertanding dalam pilihan raya telah memilih jalan demokrasi. Jalan demokrasi yang dipilih ini adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Proses dan prosedur pengundian pula tercatat dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Piilihan Raya) 1981. Jalan demokrasi adalah jalan damai dan bukannya jalan perang. Jalan demokrasi adalah antidot kepada perang. Kiasan bahawa pilihan raya sebagai perang adalah kiasan yang bertentangan dengan logik sama sekali. Bahkan dahulu beliau sendiri sering menyebut pilihan raya adalah muwajahah silmiyyah (pertembungan secara damai). Perang boleh membawa kepada kematian. Dalam pilihan raya tiada sesiapa yang akan mati syahid. 

 

Keduanya, boleh dikatakan proses pilihan raya di Malaysia ini adalah bebas. Semua orang bebas membuat pilihan undi masing-masing. Seperkara lagi, sistem pengundian di Malaysia mengamalkan sistem ‘first past the post’. Ini bermakna parti bertanding mengikut mengikut kawasan dan pihak yang mendapat majoriti undi akan mendapat kemenangan. Dalam pilihan raya ada satu pihak yang menang dan ada satu pihak yang kalah. Yang kalah harus pasrah menerima takdir kekalahan. Yang kalah tidak perlu sedih dan koyak. Pilihan raya pasti akan berlaku lagi 5 tahun akan datang dan yang kalah boleh berusaha untuk menang. 

 

Kesemua pihak yang bertanding ini telah memenangi kerusi masing-masing mengikut peraturan yang ditetapkan. Bukan sahaja PN memenangi kerusi bahkan parti PH, BN, GPS dan GRS juga telah memenangi kerusi ini mengikut jalan yang sama. Jadi masing-masing telah mendapat kerusi mengikut ‘adab demokrasi dan undang-undang’. Tiada istilah menang luar tabii. 

 

Namun, apabila YB Ahli Parlimen Marang menulis, “ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum.” ini adalah satu persepsi negatif yang ingin dicetuskan olehnya. 

 

Apakah yang dikatakan di luar tabii itu? Adakah pembentukan kerajaan secara muafakat antara parti-parti itu dikatakan di luar tabii? Dalam mana wujudnya kerajaan tergantung iaitu dalam keadaan tiada mana-mana parti yang memperolehi kerusi majoriti maka adalah perkara lazim dan normal untuk parti-parti itu berpakat dan mencalonkan seorang calon Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan. Ini adalah jalan mengikut tabii.

 

Cara politik di luar tabii itu adalah politik membeli calon-calon yang menang dengan jawatan dan kuasa seperti mana langkah tebuk atap yang dibanggakan oleh beliau beberapa purnama dahulu. Inilah yang dikatakan politik luar tabii apatah lagi jika ianya dikaitkan dengan politik Islam. Amat memalukan jika politik tebuk atap itu dianggap politik Islam mengikut tabii.

 

Tindakan beliau mempertikaikan kuasa YDPA untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai PM 10 itu yang sebenarnya di luar tabii. Kuasa untuk melantik PM ini sememangnya kuasa YDPA dan selagi tiada mendapat perkenan YDPA maka orang itu tidak boleh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. YDPA atas hematnya percaya bahawa Anwar akan mendapat sokongan majoriti dan Anwar telah buktikan keabsahannya itu di dalam Dewan. YDPA tidak menerima bukti surat akuan. Tiada dalam mana mana peruntukan Perlembagaan yang mewajibkan penerimaan surat akuan untuk buktikan sokongan majoriti. Bagaimana cara penentuan sokongan majoriti itu adalah pada hemat YDPA. Janganlah dikatakan hemat YDPA itu sebagai di luar tabii. 

 

Amatlah tidak beradab dan tidak sopan untuk sesiapa mengandaikan bahawa YDPA itu berkenan melantik Anwar Ibrahim secara luar tabii. Perkataan luar tabii itu sendiri adalah satu konotasi negatif yang dikaitkan dengan satu perlakuan seksual. Perkataan seperti ini adalah menghina dan mempunyai kecenderungan untuk menghasut di bawah Akta Hasutan 1948. Aneh sekali, bagaimanakah seseorang yang begitu berpengaruh boleh menulis perkara yang sebegitu negatif!

 

Akhirnya, apabila beliau menyatakan ‘Apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus,” apakah yang hendak disampaikan olehnya. Apakah protes yang dimaksudkan olehnya?

 

Adakah protes itu protes jalanan dengan berhimpun beramai-ramai di Padang Merbok atau Dataran Merdeka atau protes itu melalui proses undang-undang. Jika melalui proses undang-undang maka ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa. Pemfailan kes seperti ini pernah dibuat oleh Dato’ Seri Nizar Jamaludin dahulu yang membuat permohonan semakan kehakiman melalui ‘writ of quo warranto’.

 

Namun, jika yang dirancang itu hanyalah protes jalanan maka itu tidaklah memberikan apa-apa makna. Hanya Mahkamah sahaja yang boleh membuat keputusan sama ada perlantikan Anwar Ibrahim itu mengikut proses undang-undang atau pun tidak.

 

Ramai pihak akan berbesar hati untuk melihat kes seumpama ini difailkan supaya nanti kita akan mendapat fakta yang jelas dan mengetahui sama ada perlantikan yang dibuat oleh YDPA itu benar-benar mengikut peraturan dan prosedur.

 

Sementara itu, jika tindakan undang-undang ini tidak dibuat maka tulisan mempersendakan hemat YDPA seperti ini tidak perlulah dibuat. Tulisan seperti ini hanya melambangkan ketidakmatangan berpolitik secara luar tabii dan enggan mengakui perjalanan proses demokrasi yang berjalan di negara ini.

 

Selamat Hari Natal dan selamat bercuti

 

Dr Zulqarnain Lukman 

24 Disember 2022