PUTRAJAYA – Empat gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik di negara ini.
Perkara itu dimeterai melalui Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di bangunan Perdana Putra, jam 3.15 petang, dekat sini sebentar tadi
MoU itu ditandatangani oleh setiausaha-setiausaha agung gabungan politik iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Pakatan Harapan – PH), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Barisan Nasional – BN) Datuk Loretto S Padua Jr (Parti Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Gabungan Parti Sarawak – GPS) dan Datuk Seri Marsidi Manjun (Gabungan Rakyat Sabah – GRS).
Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.