KERANA ANWAR, MALAYSIA KINI BEGITU DIPANDANG TINGGI USAHAWAN LUAR NEGARA

 

Hanya dalam tempoh lima hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, dilaporkan sebanyak 48 ketua negara daripada seluruh dunia telah mengutus ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim.

Dengan ucapan tahniah seumpamanya terus tidak putus, jumlahnya ketika ini mungkin sudah melebihi 60 negara.

Ini adalah rekod yang tidak pernah dicapai sebelum ini, sekaligus memperlihatkan bagaimana dunia begitu mengiktiraf kehadiran Anwar dalam memimpin negara ini.

Hakikatnya, seiring dengan rakyat Malaysia yang secara umumnya gembira kerana Anwar dan bukan pemimpin yang sebelum ini pernah dicop gagal memimpin negara ini, negara luar juga tidak kurang gembira yang mereka rasai.

Bersama dengannya, usahawan Malaysia yang terlibat dalam perniagaan dengan negara luar, turut tidak terkecuali menerima kesan baik daripada kehadiran Anwar itu.

Mereka secara langsung mendapati ahli perniagaan luar negara begitu memandang tinggi dan hormat kepada Malaysia pada ketika ini.

Seorang usahawan yang juga Pengerusi Kehormat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Mokhtar Samad adalah antara yang terawal dapat mengalami pengalaman yang membuatnya rasa bertuah serta bangga sebagai rakyat Malaysia.

Selepas Anwar diangkat menerajui negara, beliau pada minggu lepas telah mengadakan kunjungan ke Jepun dan Taiwan selama beberapa hari atas urusan perniagaan bersama beberapa rakan niaganya.


Menurut Mokhtar, dalam perbincangannya dengan beberapa usahawan dan pelabur di kedua-dua negara tersebut, mereka kini didapati amat memandang tinggi dan hormat kepada Anwar yang mengetuai negara, sekaligus tidak menyembunyikan lagi minat yang mendalam untuk meluaskan perniagaan mereka ke Malaysia.

Selain memuji Anwar dan menganggap rakyat Malaysia begitu beruntung kerana dapat pemimpin yang berwibawa mengetuai negara, mereka malah yakin Malaysia akan menempa kemajuan yang membanggakan pada tahun-tahun mendatang nanti.

“Baik di Taiwan atau Jepun, semua ahli perniagaan yang kami temui begitu hormat dan memandang tinggi kepada negara yang kini dipimpin Anwar.

“Mereka yakin Anwar akan membawa dasar yang positif kepada pelabur untuk menanam modal dan mengembangkan lagi ekonomi negara,” ujar beliau lagi.

Malah kata Mokhtar lagi, disebabkan terlalu hormat dan memandang tinggi itu, beliau dan rakan niaganya diberi layanan yang amat baik serta dibawa sehingga ke rumah dan diperkenalkan kepada ahli keluarga mereka.

“Saya kerap juga sebelum ini ke beberapa negara atas urusan perniagan, tetapi keadaannya cukup berbeza setelah Anwar mengetuai negara ini,” tambah Mokhtar lagi.

Menurut Mokhtar, antara sebab penghormatan, kekaguman dan minat mendalam ahli perniagaan luar negara terhadap Malaysia adalah kerana Anwar dikenali di peringkat antarabangsa dan bersahabat dengan ramai pemimpin terkemuka dunia.

Atas dasar tersebut, kata beliau, mereka amat yakin Malaysia adalah antara negara masa depan yang paling sesuai serta selamat untuk mereka menanam modal dan mengembangkan perniagaan.

Sementara itu, dalam perbualan dengan beberapa ahli perniagaan lain yang turut mempunyai hubungan dagang dengan negara luar, mereka juga mendapati hal yang sama ketika ini.

Kata mereka, rakan perniagaan di luar negara kini mula menunjukkan minat yang lebih tinggi dan luar biasa terhadap Malaysia.

“Kami tidak pernah mengalami keadaan luar biasa seperti ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” tambah mereka ceria kerana ternampak peluang lebih terbuka untuk meluaskan lagi perniagaan masing-masing. – ShahbudinHusin 09/12/2022..