Kementerian ekonomi rancang kuatkan ekonomi negeri miskin
Tumpuan utama Kementerian Ekonomi adalah untuk memperbaiki ekonomi rakyat di beberapa negeri yang paling miskin di Malaysia
Hal itu disuarakan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu memperbaiki segera taraf hidup penduduk di beberapa negeri Melayu dan Bumiputera yang dibelenggu kemiskinan dan gagal diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.
“Tumpuan saya dalam bulan pertama ialah mempercepat dan menambahbaik program basmi kemiskinan tegar di seluruh negara supaya kita jaga golongan yang paling tertekan, sementara kita memperkenalkan inisiatif ekonomi kepada golongan-golongan lain.
“Sebahagian besar dari kawasan miskin tegar ini adalah dari negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak. Oleh itu, banyak sumber dan masa Kerajaan Persekutuan adalah untuk membantu masyarakat di negeri-negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Rafizi juga menjelaskan tujuan utama Kementerian Ekonomi diwujudkan setelah ditiadakan pada era kerajaan PN – BN dahulu adalah bagi memastikan kestabilan ekonomi untuk jangka panjang.
“Secara amnya, Kementerian Ekonomi bertanggungjawab terhadap perancangan jangka panjang ekonomi negara.
“Selain menetapkan dasar dan menyelaras pelaksanaan di peringkat pelbagai kementerian agar hala tuju ekonomi negara bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi, Kementerian Ekonomi juga bertanggungjawab mengendali dan mengawal selia pelaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh negara,” katanya.
Rafizi turut berjanji pada minggu minggu seterusnya berliau akan menyenaraikan perkembangan tugasnya di Kementerian Ekonomi kepada masyarakat yang ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasukannya
“InshaAllah dengan perancangan ekonomi yang lebih baik, kehidupan penduduk di kawasan bandar juga akan bertambah baik.
“Saya akan beri kemaskini mingguan dan mulai Januari 2023 akan beri laporan prestasi program basmi miskin tegar secara bulanan yang disiarkan di media sosial,” katanya.