Kabinet: Lantik kerajaan stabil lebih penting
Pelantikan kabinet Kerajaan Perpaduan yang dibahas pro dan kontra oleh netizen di ruang maya sejak malam tadi seharusnya tidak melupakan tujuan utama Yang di-Pertuan Agong menitahkan kerajaan tersebut dibentuk, iaitu ingin mewujudkan kestabilan politik.
Menurut penganalisis politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, negara perlu diselamatkan daripada siri pertukaran kerajaan silih berganti sebagaimana episod 2018 – 2022.
Oleh itu, katanya, calon Menteri yang perlu dilantik untuk menjamin kestabilan wajib dilantik bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati dan jatuh menjauhkan.
“Satu yang mustahak dari kabinet ialah supaya kerajaan ini stabil. Kestabilan itulah yang akan membawa kepada kemajuan ekonomi negara yang akan membolehkan Datuk Seri Anwar dan kabinetnya memacu negara, merancang ekonomi, merancang kestabilan negara.
“Saya rasa ini (kabinet) yang terbaik dan boleh dibuat dalam kekangan yang ada.
“Ada kekurangan lain, saya rasa tokoh dan pemimpin yang menang pilihan raya dalam kerajaan perpaduan ini akan dibawa kemudian sebagai timbalan menteri,” kata Dr Agus dalam siaran media, malam tadi.
Tambah beliau, kritikan tetap akan dilemparkan ke atas PM meski siapa pun yang dilantik sebagai Menteri.
Namun kabinet tersebut menunjukkan ciri ciri yang baik kerana lebih kecil daripada sebelumnya, mengandungi pelbagai kaum dan turut aktif mewakili Sabah dan Sarawak.
“Memang akan ada bantahan, akan ada bangkangan, kritikan, bawa masuk kluster mahkamah. Tetapi saya ingin maklumkan pertamanya barisan kabinet itu luar biasa, kabinet yang tidak membazir yang dikecilkan saiznya. Barisan kabinet yang ada dari pelbagai kaum, perwakilan dari Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung.
“Ada yang tua, muda, dari pelbagai parti, pelbagai kaum. Itu istimewanya kabinet ini,” katanya.
Beliau berharap kabinet tersebut akan berfungsi dengan baik dan akan mengembalikan kegemilangan pentadbiran Malaysia seperti era 1990an lalu.
“Sebagai pemerhati politik saya percaya inilah satu satunya kerajaan yang boleh menjanjikan masa depan yang baik untuk negara.
“Kita bersabar, kita tengok apa yang boleh dibuat oleh kerajaan ini untuk negara dari segi fokus ekonomi, kos sara hidup, kepada membawa masuk harapan baru yang pada saya mengujakan.
“Saya harap ini akan akan menjadi kabinet yang serius seperti mana dikatakan oleh PM, ini adalah kabinet untuk Malaysia ke depan,” katanya lagi.