Anwar Ibrahim sudah berusia 75 tahun, tetapi tenaga dan kecergasannya seperti tidak pernah tua.
Melihatnya berjalan saja pun sudah ternampak aura segar dan cergas beliau di sebalik usianya yang bukan lagi muda itu.
Ketika kempen PRU15 baru-baru ini, setiap hari beliau berkempen dengan berada di negeri yang berbeza untuk menghadiri tujuh sehingga lapan program sehari.
Selain beramah mesra dengan rakyat yang menunggu kehadirannya, Anwar juga akan berucap antara 20 minit hingga setengah jam di setiap program yang dihadirinya itu.
Bayangkan dalam tempoh lebih tiga minggu sebelum tarikh mengundi pada 19 Disember lalu, itulah rutin Anwar setiap hari, tanpa rehat dan tanpa ada cuti.
Siapa di kalangan kita yang seusia dengannya mampu berbuat begitu?
Sebaik mengangkat sumpah pada 24 Disember lalu dan mula bertugas sebagai Perdana Menteri pula, sekali lagi Anwar memperlihatkan tenaga yang dimilikinya memang tidak pernah tua.
Berada di pejabat dengan pelbagai urusan, bertemu pegawai dan tetamu yang ingin berjumpa dengannya, selain bermesyuarat, Anwar juga sempat berkejar ke beberapa istana kerana ada titah mengadap yang perlu dipatuhinya.
Selepas bermesyuarat atau berjumpa pegawai kakitangan Kementerian Kewangan, Anwar kemudiannya tetap sopan dan santai menemui wartawan yang sedang menunggu untuk memberi laporan, bukan keluar ikut pintu belakang kerana takut kepada soalan atau berani hanya dengan memberi perutusan.
Kesimpulan mudah daripada apa yang terpamer itu, Anwar tidak main-main dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai Perdana Menteri.
Menyedari keadaan negara yang rosak di sana sini dan banyak kerja perlu dilakukan untuk memperbaikinya, Anwar seperti sedang berkejar dengan masa yang tetap 24 jam setiap hari dalam tugas serta tanggungjawab yang ingin dilakukannya.
Di samping harapan rakyat menggunung tinggi kepadanya, di waktu yang sama, serangan mereka yang dengki dan ingin menjatuhkannya tidak sama sekali pernah berhenti.
Maka, agak difahami jika beliau seperti “lipas kudung” bekerja sekarang ini, sambil tidak lupa menepis dan membuat serangan kepada musuh yang menanti.
Dalam hal ini dan untuk memastikan apa yang dilakukan Anwar sebagai Perdana Menteri menemui kejayaan, adalah penting untuk para menteri kabinet terutamanya, agar turut sama bergerak pantas dan ligat bekerja sepertinya.
Para menteri tidak boleh lagi sambil lewa, lembab dan perlahan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab seharian kerana apa yang rakyat mahu lihat sekarang ialah hasil dan manfaat untuk mereka.
Tugas rakyat mengundi untuk memilih kerajaan sudah pun selesai dan kini giliran kerajaan yang dipilih untuk menunaikan segala janji dan manifesto yang dibentangkan sewaktu berkempen dahulu pula mengambil gilirannya.
Jika Perdana Menteri minta selesaikan dengan segera isu harga telur misalnya, janganlah bila pengumumman dibuat, benda lain yang diumumkan.
Kalau mengadakan sidang media, menteri hendaklah serius dan memberi sepenuh perhatian, janganlah sambil itu tiba-tiba nak seluk poket mengambil telefon untuk menjawab panggilan.
Awak itu menteri, berilah pegawai saja jawab panggilan telefon ketika mengadakan sidang media.
Lainlah dengan Anwar, yang menelefonnya ketika beliau mengadakan sidang media ialah Presiden Turki, itu sudah pastilah beliau perlu menjawabnya.
Tapi siapa yang menelefon menteri berkenaan ketika beliau mengadakan sidang medianya itu?
Tolonglah, jangan bagi malu, jangan lembab dan jangan banyak sangat syok sendiri dapat jadi menteri.
Anwar sebagai Perdana Menteri yang cergas, rajin serta ligat bekerja tidak akan memberi apa-apa makna kepada rakyat jika beliau tidak mendapat bantuan daripada menteri-menterinya sendiri yang menampakkan sikap lembab serta perlahan dalam bekerja.
Menteri-menteri harus sama seiring, sehayun dan selangkah dengan iltizam Perdana Menteri yang ingin bekerja keras, ligat dan membuang jauh-jauh rasa penat dalam dirinya.
Sebagai permulaan, bolehkah mulai sekarang para menteri mula berjalan laju sikit sebagaimana pantasnya Anwar melangkah? – Shahbudinahusin 07/12/2022.