JANGAN BIMBANG, PEMBENCI ANWAR BUKAN PUN MENGUNDI PH ATAU BN!!


 Ada penyokong PH mula meluahkan rasa bimbang melihat serangan dan sentimen kebencian terhadap Anwar Ibrahim dan kerajaan di media sosial kebelakangan ini.

Kata mereka, mampukah kerajaan ini bertahan lebih lama?

Realitinya, pebagai perkara mereka jadikan isu untuk menimbulkan keraguan terhadap kerajaan, tidak terkecuali berkaitan hal-hal yang tidak kaitan sama sekali dengan Anwar atau janji PH pada PRU15 lalu.

Janji menurunkan harga minyak, walaupun orang yang waras tahu ia adalah janji pada PRU13 dan tidak terdapat dalam manifesto PRU15, masih ada yang suka mengulang-ulang isu tersebut dan mempertikaikan bila lagi ia mahu dilaksanakan.

Mereka ini, selain selama ini semacam duduk dalam gua, perbuatan tersebut juga sebenarnya memperbodohkan diri sendiri kerana janji PRU13 hanya boleh dituntut jika PH menang pada 2013 dahulu.

Kalau dalam peperiksaan, sudah lama mereka berkenaan diberi markah dengan pen merah kerana menggunakan fakta yang tidak berkaitan dalam isu yang dibangkitkan.

Lebih teruk lagi, penamatan khidmat Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam baru-baru ini turut juga diseret nama Anwar yang melakukannya.

Sekali lagi, mereka yang mengaitkan perkara itu dengan Anwar memang sah selama ini duduk dalam gua kerana langsung tidak membaca berita semasa sejak lima enam bulan sebelum ini.

Kalau mereka jenis yang peka dan rajin membaca, tentu mereka tahu isu sebenar berkaitan Ketua Pengarah JPA yang ditamatkan khidmatnya oleh Ketua Setiausaha Negara itu.

Tetapi, yang terus tidak habis-habis dipertikaikan ialah kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri melalui pembentukan kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Pelbagai aspek dan sisi lain cuba dijadikan alasan untuk mempertikaikannya tanpa mereka memahami bahawa kuasa melantik Perdana Menteri itu adalah hak Agong berdasarkan keyakinan siapa yang pada hemat baginda memiliki sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Sepatutnya setelah perlantikan dibuat oleh Agong dan kemudian Anwar sendiri menunjukkan jiwa besarnya dengan sedia membawa usul undi percaya di Parlimen pada 19 Disember ini, semua pihak mesti bertenang dan menunggu tarikh tersebut untuk berbuat sesuatu.

Jika yakin ada sokongan dan mahu menjatuhkan Anwar, tolaklah beliau dalam undi percaya tersebut.

Ini tidak, menceceh dan meroyan tak henti-henti yang memberi gambaran jiwa mereka sedang kacau dan begitu tertekan setelah hilang gaji serta jawatan, sesetengahnya pula memperolehinya hanya dengan duduk di rumah saja.

Pun begitu, jika kita perhati dan teliti, mereka yang tidak henti-henti mempertikai kerajaan dan Anwar sekarang ini bukanlah daripada penyokong atau pengundi PH, juga bukan penyokong dan pengundi BN yang parti ini kini telah bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan.

Penyokong dan pengundi PH, juga penyokong dan pengundi BN, secara umumnya menerima baik kerajaan ini dan berkeyakinan Anwar bersama pasukan kabinetnya mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Cuma, dengan pelbagai masalah dalam negara, disertai beban hutang yang tinggi yang ditinggalkan kerajaan terdahulu – lebih masa, sokongan serta pemahaman rakyat adalah amat diperlukan.

Perubahan atau hasil untuk dinikmati tidak mungkin dapat dituai dalam jangka waktu yang segera.

Mereka yang tidak puas hati itu adalah penyokong selain daripada PH atau BN atau dalam erti kata lain, sebahagiannya adalah penyokong dan pengundi PN, manakala selebihnya lagi adalah pentaksub Tun Mahathir Mohamad dan GTA.

Tiada ubat untuk mereka itu dan terlalu sukar untuk diubah hati mereka, lebih baik usah dilayan sangat.

Penyokong dan pengundi PN, jika mereka sedar, lebih patut menyalahkan Mahiaddin Md Yasin kerana dengan sombong dan ego menolak titah Agong berkenaan kerajaan perpaduan yang dicadangkan baginda.

Jika Mahiaddin tidak menolak titah Agong itu, hari ini PN sudah pasti merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Dah diri sendiri menolak kerajaan perpaduan, tapi marah pula orang lain yang mahu dan berada dalam kerajaan perpaduan, tidakkah mereka ini “sakit” sebenarnya?

Begitu juga dengan penyokong dan pengundi GTA, mereka sepatutnya ada rasa malu untuk mempertikaikan Anwar dan kerajaan yang dipimpinnya sekarang.

Ini kerana GTA sendiri, selain ditolak, juga dikalahkan dengan teruk sehingga hilang deposit di semua kawasan yang ditandinginya.

Kalau bertanding pun sampai hilang deposit semua kerusi, duduk diam-diam saja layaknya!! – ShahbudinHusin 14/12/2022.