Jadi pembangkang kuat pula kritik, jadi kerajaan senyap
Rakyat seharusnya boleh menilai prestasi wakil rakyat pembangkang yang dilantik menerusi Pilihan Raya Umum ke 15 lalu berdasarkan kritikan mereka kepada isu isu semasa yang tidak diselesaikan ketika PN memerintah sepanjang 3 tahun lalu.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kritikan Kerajaan Perpaduan kononnya tidak berjaya menyelesaikan masalah kos sara hidup tidak sepatutnya keluar sedangkan umur pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baharu mencecah sebulan.
Katanya, sekiranya pemimpin PN bijaksana mengapa masalah tersebut tidak mereka selesaikan sepanjang 3 tahun lalu.
“(Kos sara hidup) saya setuju tak mudah (diselesaikan dalam masa singkat). Kalau kata pembangkang tak boleh terima benda ini tak mudah (perlu tempoh penyelesaian), tanya balik kenapa masa mereka jadi kerajaan perkara ini tak selesai.
“Kenapa kamu sebagai kerajaan dulu tak boleh selesaikan? Kedua, kenapa kamu sebagai kerajaan lebih pentingkan (beli) kereta (PM), tawaran keistimewaan, potong gaji ke tidak? Kalau dulu ada buat begitu, oklah sekarang serang balik. Itu kita boleh terima. Biar ada kredibiliti menyerang atau membangkang,” katanya kepada Suara Keadilan.
Syed Ibrahim juga membidas tindakan pemimpin PN yang sengaja mengelirukan rakyat kononnya menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli meminta rakyat ‘tidak makan ayam jika harga tinggi’.
“Saya rasa mereka elok teliti baca kenyataan, jangan hanya berdasarkan kepada tajuk dan satu kapsyen sahaja dalam media. Baca keseluruhan kenyataan media dia
“Saya rasa kenyataan media dia lebih menyeluruh dan tepat. Misalnya soal harga barang memang kita tengok soal penawaran dan permintaan. Memang betul sesetengah orang kita walaupun mahal tetapi kerana nak makan juga, mereka beli.
“Yang diberi pandangan oleh Rafizi untuk kita, buat pilihan lain sebab barangan itu sudah telalu mahal. Penjual pun kalau orang dah tak mampu nak beli, dia terpaksa turun harga,” katanya.
Bagi Syed Ibrahim, pembangkang seharusnya komen berdasarkan rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang diutarakan kerajaan.
Katanya, jangan hanya ambil beberapa sudut tertentu dan terus menyerang.
“Bila baca komen (di media sosial), mereka ini tidak baca jangka sederhana dan panjang itu
“Mereka cuma baca jangka masa pendek. Bila disebut satu penyelesaian keseluruhan, tengoklah jangka masa pendek, sederhana dan panjang
“Tetapi mereka nak cari sudut boleh diserang (sahaja),” katanya lagi.