Tun M ada buktikah Ph akan kerjasama dengan Umno?
Tuduhan semberono Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad terdapat maklumat kononnya pemimpin Umno akan berkerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan adalah palsu.
Bagi calon Pakatan Harapan parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, fitnah Mahathir kononnya kerjasama Umno – Anwar itu akan membebaskan bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak dari Penjara Kajang juga amat lucu.
Realitinya, kata Shamsul, Mahathirlah penyebab ketidakstabilan politik negara apabila terlalu memberi muka kepada pemimpin pengkhianat KEADILAN dalam kerajaan PH dan menolak menyerahkan jawatan PM kepada Anwar sebagaimana dijanjikan.
“Tun mendakwa mendapat maklumat Anwar sudah berbincang dengan Zahid dan bekerjasama untuk memastikan Anwar menjadi PM, kemudian akan memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong untuk melepaskan Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara serta menggugurkan segala pertuduhan.
“Selain itu beliau menuduh selepas menjadi PM, Anwar akan berusaha untuk menggugur dan menghapuskan segala tuduhan mahkamah terhadap Zahid serta beberapa pemimpin BN lain sebagai balasan kerelaan Zahid menyokong Anwar sebagai PM.
“Mungkin Tun terlupa bahawa beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan PH dan memberi ruang kepada Perikatan Nasional (PN) menghancurkan negara secara bergilir-gilir dengan BN apabila meletakkan jawatan PM tanpa mendapatkan pandangan Majlis Presiden PH ketika berlakunya Langkah Sheraton,” katanya.
Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN itu lagi, tohmahan Mahathir juga berkemungkinan disebabkan oleh penolakan PH untuk bekerjasama dengan pemimpin Pejuang yang pernah menyebabkan kerajaan tidak stabil dalam tempoh 2018 – 2020 lalu.
“Tuduhan semberono yang penuh emosi ini kerana mungkin permohonan bekerjasama dengan PH ditolak mentah-mentah oleh Anwar, ditambah pula dengan jumlah kerusi jauh lebih banyak berbanding orang yang hadir dalam program parti Pejuang di Sabah baru baru ini menandakan penolakan jelas terhadap parti yang beliau tubuhkan itu.
“Menuduh semua orang salah dan gilakan kedudukan jawatan Perdana Menteri, Tun juga lupa bahawa selaku pemegang rekod Perdana Menteri paling lama di Malaysia, beliau juga satu-satunya individu menjadi PM sebanyak dua kali, dan masih belum puas kerana masih mencuba untuk kali ketiga. Ada baiknya Tun berehat di tikar sejadah dan muhasabah diri di hujung usia ini,” katanya.
Tegas Shamsul lagi, segala tuduhan liar Mahathir itu akan dijawab oleh beliau dan Anwar dalam ceramah di Bagan Datuk pada minggu hadapan.
“Untuk menjawab tuduhan samada benar atau tidak PH bekerjasama dengan BN, tunggu pada tanggal 16 November ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun berkempen bersama saya dan menggempur kubu kuat Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk habis-habisan,” katanya lagi.