Tuduhan kononnya terdapat kerjasama secara belakang tabir antara
Pakatan Harapan (PH) dan Umno dinafikan sekeras kerasnya.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, tiada sebarang
persefahaman atau kerjasama antara PH dengan parti parti seperti Umno BN atau
PN, biar pun pihak Gabungan Tanah Air (GTA) menuduh Pengerusi PH Datuk Seri
Anwar Ibrahim lebih banyak menyerang Tun Mahathir berbanding Ahmad Zahid
Hamidi.
"Tiada apa-apa. Saya fikir ia adalah satu percubaan murahan
(mengelirukan rakyat) menjelang pilihan raya ini, untuk GTA cuba mencipta
persepsi bahawa KEADILAN cuba bekerjasama dengan Zahid.
"Penyokong KEADILAN serta PH dan pengundi tidak perlu berasa
bimbang kerana saya tidak akan menerima perkara ini dan berdiam diri.
"Jika ia berlaku, saya akan menjadi orang pertama yang
bersuara, jika berlaku sebarang usaha rundingan dengan Umno," katanya daam
sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya pagi tadi.
Sebaliknya, Rafizi yang percaya PH akan mendapat sekitar 100
kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 boleh berunding membentuk kerajaan dengan
parti parti di Sabah dan Sarawak yang lebih relevan serta tidak rasis dalam
perjuangan politik mereka.
"PH sebagai blok terbesar mempunyai hak untuk membentuk
kerajaan gabungan dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
"Pilihan seterusnya adalah untuk gabungan Sabah dan Sarawak,
sama ada GRS (Gabungan Rakyat Sabah) atau GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk
mempertimbangkan apa yang terbaik untuk mereka dalam membentuk kerajaan dengan
mana-mana gabungan.
"Saya fikir, apabila tiba masanya, Sabah dan Sarawak akan
membuat pilihan yang bernas.
"Sebab itu saya tidak berminat untuk bercakap tentang GTA, BN
atau PN (Perikatan Nasional)," katanya lagi