PM 10: Anwar yakin bentuk kerajaan
Spekulasi perlantikan Perdana Menteri Malaysia ke 10 di antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin bertiup kencang.
Petang ini Anwar menolak kenyataan bahawa Muhyiddin telah mendapat cukup sokongan untuk diangkat sebagai PM 10.
Beliau tegas menyatakan memiliki sokongan yang telah melepasi 111 kerusi sebagai PM yang sah.
“Tentang jumlah saya buat kenyataan semalam, saya berpandukan kepada apa yang kita capai selama ini.
“Kita lihat kerana proses itu telah diminta melalui Yang di-Pertuan Agong dan Speaker (Dewan Rakyat),” katanya dipetik Astro Awani, malam ini.
Anwar berkata semua dokumen telah dihantar mengikut peraturan yang dinyatakan sebagaimana yang dinyatakan.
Beliau menyerahkan kepada pihak yang akan bersama membentuk kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan sokongan.
“Saya mahu ia dibuat dengan teratur. Biar mereka keluarkan kenyataan mereka tetapi saya gembira kerana kita telah selesaikan ini. Dengan tahap sokongan saya yakin InshaAllah saya akan diberi peluang untuk memimpin negara ini,” katanya.
Ditanya buat kali kedua sejak sidang media malam tadi, pihak mana yang akan bersama PH membentuk kerajaan Anwar tetap mengatakan sokongan telah cukup dan media perlu bersabar sehingga esok.
“Sejak semalam dah cukup. Biar parti berkenaan akan keluarkan kenyataan,” katanya.