Orang Kelantan nak benda baru
Angin perubahan biar pun tidak begitu kencang namun kelihatan mula melanda Kelantan yang gagal ditadbir sebaik baiknya oleh Pas biar pun selepas berada dalam Kerajaan Persekutuan.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad, keinginan untuk berubah itu jelas kelihatan dalam kehadiran rakyat dalam majlis memperkenalkan calon parlimen Pasir Mas, Datuk Husam Musa yang turut dihadiri Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
“Walaupun cuaca tidak mengizinkan tetapi kehadiran cukup luar biasa. Ini menunjukkan warga Kelantan menghantar mesej yang jelas bahawa dalam pilihan raya umum kali ini orang Kelantan nak sesuatu yang baharu.
“Peluang kita ada jelas di hadapan mata kerana bila kita masuk Pilihan Raya Umum (PRU) ini, PRU dan Pilihan Raya Negeri diadakan pada waktu yang berbeza.
“Tahun depan bulan Mac akan ada PRU negeri. Bayangkan, 19 November 2022 PH menang dan Datuk Seri Anwar menjadi PM dan Husam Musa menyumbang satu kerusi kepada kemenangan itu,” katanya disambut laungan takbir oleh para hadirin.
Penyandang kerusi parlimen Setiawangsa itu juga turut membayangkan betapa bagusnya sekiranya Pilihan Raya Negeri Kelantan yang diadakan pada bulan Mac tahun hadapan kelak dihadiri sekali lagi oleh Datuk Seri Anwar ketika telah bergelar Perdana Menteri Malaysia.
“Tahun depan bila Datuk Seri Anwar turun ke sini sebagai PM, saya turun ke sini sebagai pengerusi KEADILAN Kelantan. Kita akan ada platform yang baik berkempen untuk menang Kerajaan Negeri Kelantan
“Cukuplah Kelantan sekarang masalahnya terlalu banyak. Kita sedar cabaran tersebut. Kita mahu sesuatu yang baharu. Kita tidak mahu anak Kelantan terpaksa merantau nak cari kerja. Kita tak mahu Kelantan nombor 1 bukan dari segi pembangunan ekonomi tetapi dari segi kemiskinan atau masalah sosial.
“Sebab itu kali ini kita kena bulatkan tekad untuk lakukan perubahan. Berilah peluang kepada PH,” katanya.
Nik Nazmi menyeru pada PRU 15 Kelantan perlu menyumbang kerusi untuk kemenangan PH bagi memastikan Umno BN kekurangan kerusi dan tidak mampu berunding dengan sekutunya untuk membentuk kerajaan seperti sebelum ini.