MELAYU TERANCAM
1. Sejak dari kecil, kita dibagitau, hak Melayu sentiasa
terancam. Orang lain akan cuba rampas negara dari kita. Tengokkan Singapura.
Orang lain berkuasa di sana. Makanya, perlulah undi parti Melayu dulu, kini dan
selamanya.
2. Masa saya kecil, saya duduk di kampung Melayu, selalu saya
rasa tak percaya dengan bangsa lain. Skeptikal itu tinggi, kadang tu borderline
racist juga dibuatnya. Asal nama dan rupa lain semua saya tak percaya.
3. Dah besar masuk sekolah menengah dan masuk universiti,
bercampur dengan bangsa lain, baru saya sedar, darah merah mereka sama dengan
saya. Ya, ada juga yang ektrimis kaum, namun berapa kerat saja. Majoriti
pentaksub parti.
4. Kebanyakan rakyat pelbagai kaum nak hidup sejahtera. Dan
mahukan Malaysia yang aman, yang sama2 kita boleh cari makan. Kita nak
bersukan, dan bermain di taman, sebelah2 takde hal. Ini yang idamkan. Tapi
politikus, far left dan far right, permainkan. Sentimen agama dan perkauman.
5. Parti Melayu selalu propagandakan Melayu terancam di bumi
sendiri. Tapi kalau tengok data yang ada, ekuiti bumiputera dari 21% tahun
1990-an, turun ke 16% tahun 2018. Selepas 50 tahun DEB dilaksanakan. Masih
tiada peningkatan. Malah lagi teruk ada penurunan.
6. Tanah Rizab Melayu yang dijadikan sebagai satu daripada 7
wasiat Raja Melayu, untuk dikekalkan pada 50% sepanjang masa, sekarang hanya
tinggal 12% sahaja, walaupun baru 65 tahun kita merdeka. Sedih kita melihatnya.
7. Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan yang ada, dari Menteri
ke Ketua Setiausaha, dari DO ke piun Pejabat Tanah semua orang kita. Hilangnya
hak dan kuasa kita adakah kerana orang lain juga?
8. Mereka kata, jangan Malaysia jadi seperti Singapura. Namun
kita lupa, orang kita sendiri gadaikan Singapura kepada orang luar. Sampai
pendatang menjadi penduduk majoriti di sana. Bila dah lebih ramai dari orang
kita, nescaya kuasa politik mereka yang punya. Tapi perspektif ini dihilangkan
saja.
9. Sama sahaja dengan Pulau Pinang, tanah tergadai ke British
kerana persengketaan. Berebut menjadi Sultan. Lepas tanah tergadai, mereka ubah
besar2an. Sampai terjejas anak watan. Lanskap sosial bertukar, pendatang jadi
majoriti dan kuasai politik negeri.
10. Sejarah sudah mengajar kita, penguasaan hak milik tanah
paling utama dalam setiap pembinaan negara bangsa. Itu sebab Yahudi Israel
berebut tanah dengan Palestine, untuk dapatkan negara sendiri.
11. Bila saya dah besar, saya sedar, penduduk majoriti akan
hilang kuasa politik kalau mereka lemah. Lemah melawan tamak haloba nak
berkuasa, lemah kerana pegangan Cash is King, lalu merebak ke rasuah dan
salahguna kuasa. Ini terbukti dalam sejarah kita.
12. Saya percaya, selagi kita penduduk majoriti negara dan kita
angkat Melayu berintegriti dan berwibawa memerintah kita, bangsa saya tidak
akan terancam. Malah orang lain akan hormat jua.
13. Melayu terancam bukan sebab orang lain, sebab sikap dan
budayanya. Tambah sikap feudal sentiasa, yang diangkat perompak, penyangak dan
gangster. Sebagai pemimpin mereka dengan moto dulu, kini dan selamanya. Di samping
penunggang agama.
14. Kalau tidak dibendung, Malaysia akan jadi Sri Lanka.
Berpuluh tahun, politik kaum dan agama diguna. Untuk cover rasuah dan salahguna
kuasa pemimpin mereka. Tadbir urus lemah, kerana pemimpin haprak. Akhirnya,
negara jadi bankrap. Rakyat merana. Banyak persamaan yang kita perlu belajar.
15. Hari ini saya akan senaraikan semua posting saya untuk
melawan naratif Melayu Terancam. Moga jadi panduan tuan puan untuk buat
keputusan.
16. Sesungguhnya, bangsa saya tidak terancam, yang terancam
ialah golongan elitis bangsa, yang makin hilang kuasa. Tiada ruang untuk
merompak kantung negara. Untuk anak cucu mereka.
17. Demi untuk anak cucu cicit kita, angkat pemimpin yang
berintegriti dan berwibawa. Tolak propaganda sempit politik kaum dan agama. Itu
sebenarnya parasit paling teruk dalam membina negara berjaya.
18. Moga PRU15 ini membawa sinar baru buat Malaysia.
Salam hormat,
Liyana Marzuki