Lebih 80 kerusi dalam tangan PH, push lebih untuk 112
Strategi BN untuk meneruskan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dalam musim banjir berkemungkinan akan menyebabkan parti itu menemui kekalahan.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, data terkini yang diperolehinya menunjukkan Pakatan Harapan (PH) akan bertahan di kubu sebelum ini seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Malah katanya, PH mungkin membuat kejutan di kawasan kawasan tertentu.
“(Presiden Umno) Zahid Hamidi kerana ketinggalan zaman, dia salah bacaan. Dia ingat keputusan di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor melambangkan keputusan PRU. Sebab itu dia paksa juga buat PRU tanpa kira banjir. Dengan perkiraan orang Cina tak keluar, orang muda marah, penyokong PH tak selesa. Akhirnya seperti Johor dan Melaka, kadar keluar mengundi rendah.
“Saya nak beritahu kepada BN, anak muda Cina, Melayu, India tak keluar dan kamu berharap orang tua bangka yang sokong Umno, Pas dan Bersatu itu menangkan kamu, maka sila datang ke Pandan dan tengok sendiri.
“IshaAllah gelombang anak muda mengundi kali pertama akan membawa gelombang memenangkan kita.
“Tahap sokongan penbundi Melayu, Cina, India di seluruh negara terutama di pantai barat Semenanjung, terutama minggu nak masuk penamaan calon ini, tahapnya sama seperti 2 minggu sebelum nak masuk mengundi 2018 dulu.
“Negeri prestasinya begitu baik adalah Negeri Sembilan (NS). Kita sedang mendahului dan kalau kena cara kejutan itu datang dari NS. Jadi Tok Mat berhati hati, Rembau tak selamat.
“Negeri kedua yang baik ialah Wilayah Persekutuan. InshaAllah 10 kerusi kita akan berjaya pertahankan, dan kalau kena cara boleh sapu 11 kerusi.
“Selangor kena push sikit lagi. Kita dalam keadaan baik untuk menang 19 – 20 kerusi daripada 22 kerusi,” katanya dalam ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Pandan, malam tadi.
Tambah Pengarah Pilihanraya KEADILAN itu, strategi menjadi lebih mantap sekiranya PH berjaya melakukan kerja keras menarik sokongan di Melaka dan Johor.
Katanya, PH berpotensi menang 13 – 15 kerusi di Johor.
“Datuk Seri Anwar mengusahakan langkah kita di Perak. Kalau ada peralihan (sokongan popular) 3 – 4% kita juga dapat lihat pertambahan kerusi yang sebelum ini tak dimenangi oleh PH.
“Kita jangka (setakat ini mudah mendapat) 80 kerusi parlimen. Kita ada 2 minggu untuk kempen bawa seramai mana pengundi terutama yang muda untuk keluar mengundi.
“Kempen 2 minggu bermaksud kita kena yakinkan rakyat bahawa ini bukanlah soal kuasa. Memang saya nak Anwar jadi PM tetapi bukan batang tubuh dia. Saya mahu dia bawa pasukan yang baik dan membetulkan masalah yang dihadapi Malaysia satu per satu,” katanya.
Rafizi menjelaskan, semua data itu didapatkannya secara harian dengan menggunakan teknologi pengumpulan data raya terkini melibatkan sistem komputer yang membuat beribu ribu panggilan sehari secara rawak.
Semua dapatan kemudiannya dianalisis oleh saintis data yang memecahkan kepada kategori umur, jantina, pekerjaan juga sokongan ke atas parti parti politik.