Dari Rafizi Ramli
11 November 2022
KERAJAAN PAS UMNO BERSATU TELAH BERSETUJU MELANTIK MANGKUBUMI
BAGI PROJEK TEBATAN BANJIR RM2 BILION SECARA RUNDINGAN TERUS
Saya mengesahkan telah menerima satu Surat Tuntutan (“Demand
Letter”) dari Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan-kenyataan
saya yang mendedahkan pelantikan Mangkubumi Sdn Bhd dalam beberapa projek besar
di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Untuk makluman orang ramai, menghantar Surat Tuntutan bukanlah
bermakna tindakan saman telah diambil. Secara umumnya, satu pihak menghantar
Surat Tuntutan ke satu pihak yang lain untuk mendapat penjelasan dan
memaklumkan hasrat pihak itu untuk mengambil tindakan saman sekiranya
tuntutan-tuntutan tidak dipenuhi.
Tindakan saman hanya bermula apabila saman itu difailkan di
mahkamah.
Pengalaman saya selama ini menunjukkan hanya separuh dari
surat-surat tuntutan yang dihantar kepada saya berakhir dengan tindakan saman.
Surat-surat tuntutan dari 1MDB contohnya tidak pernah berakhir dengan tindakan
saman.
Oleh itu, selepas peguam-peguam saya menjawab Surat Tuntutan
dalam tempoh seminggu ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man meneruskan
niatnya untuk menyaman saya di mahkamah. Saya tidak mahu Surat Tuntutan yang
dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen
PRU15, tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah.
Saya mahu ke mahkamah kerana saya ada bukti yang kukuh mengenai
pendedahan saya itu.
Sejak saya membawa isu ini ke pengetahuan umum pada hari Isnin
lalu, reaksi tidak rasmi dan kenyataan rasmi Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memberi
gambaran berikut:
• Bahawa isu yang saya bawa (iaitu projek tebatan banjir Sungai
Langat Fasa 2 akan diberikan secara rundingan terus pada harga RM2 bilion
kepada Mangkubumi Sdn Bhd) adalah rekaan dan palsu
• Kenyataan saya bahawa proses untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd
secara rundingan terus telah dan sedang berlaku adalah palsu
• Bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man tidak tahu apa-apa mengenai
keputusan untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus bagi sebuah
projek yang sebegitu besar
Oleh itu, hari ini saya tampil menunjukkan bukti kukuh bahawa
projek tebatan banjir Kuala Langat Fasa 2 berjumlah RM2 bilion ini sebenarnya
telah pun diluluskan secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd.
Saya sertakan petikan surat dari Ketua Setiausaha
Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian
Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang bertarikh 7 Oktober
2022 dengan nombor rujukan MOF.BPK(5)600-15/59/206(4) yang bertajuk “PROJEK
RANCANGAN TEBATAN BANJIR SUNGAI LANGAT FASA 2, SELANGOR”.
Saya petik kandungan surat tersebut di perenggan 2 untuk manfaat
rakyat Malaysia:
“2. Dimaklumkan bahawa YB Menteri Kewangan telah bersetuju
meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor
dilaksanakan secara rundingan terus dengan syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd.
(MSB).”
Keputusan ini juga merujuk kepada surat dari Perdana Menteri,
Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai projek ini yang bertarikh 16 Ogos 2022.
Surat dari Kementerian Kewangan ini dikeluarkan pada 7 Oktober
2022 iaitu pada hari pembentangan bajet yang lepas. Secara logiknya, tumpuan
keseluruhan kerajaan, Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan pada hari ini
ialah pembentangan bajet.
Sebaliknya, surat ini dikeluarkan juga pada tarikh itu
memandangkan menteri-menteri telah pun tahu bahawa Parlimen akan dibubarkan
pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.
Sebab itu saya katakan bahawa projek sebesar ini telah
dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PRU15.
Lazimnya, apabila keputusan sebesar ini yang melibatkan
Kementerian Alam Sekitar dan Air telah diputuskan di peringkat Perdana Menteri
dan Menteri Kewangan, walaupun surat pemakluman keputusan adalah Ketua
Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha KASA, sudah tentu KSU KASA
telah pun memberi taklimat dan memaklumkan Menteri KASA sejurus selepas 7
Oktober 2022.
Sebab itu saya kecewa dengan reaksi Tuan Ibrahim Tuan Man dan
kepimpinan PAS yang cuba memberi gambaran mereka tidak tahu apa-apa. Malah,
kempen PAS telah bertumpu sepenuhnya kepada menyerang peribadi saya untuk
mengalihkan perhatian bahawa logiknya Tuan Ibrahim Tuan Man TAHU memang projek
berjumlah RM2 bilion ini telah pun diluluskan oleh kerajaan untuk tindakan
beliau sebagai Menteri KASA.
Saya juga akan menumpukan perhatian kepada tanggungjawab Tengku
Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan yang meluluskan projek-projek
rundingan terus seperti ini dalam sidang media yang akan datang.
Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man tidak
berselindung di sebalik satu Surat Tuntutan untuk mencuci tangan dari
tanggungjawab beliau mengenai projek ini.
Sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan dalam tempoh 10
hari dari sekarang, saya berhasrat untuk membuat laporan kepada pihak-pihak
berkuasa mengenai peranan Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan
Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai peranan, fungsi dan keterlibatan mereka dalam
kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh pihak-pihak berkuasa.
Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat
laporan SPRM, saya berharap beliau bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM
akan dibuat sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa
terdekat.
RAFIZI RAMLI