Pengundi jangan percaya pada naratif PN ‘bersih, stabil’, kata Zahid.
PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi Melayu supaya tidak terpedaya dengan naratif Perikatan Nasional (PN) iaitu akan membentuk kerajaan bersih dan stabil dengan merujuk beberapa pemimpin gabungan itu terpalit dengan skandal.
Zahid berkata, pemimpin PN ini bersembunyi’ disebalik imej parti sekutu yang mendakwa Islamik sama ada sedar atau tidak mereka dipergunakan.
“Mengundi PN bukan bermakna anda mengundi parti yang mendakwa Islamik, tetapi lebih mengundi Bersatu,” katanya di Facebook.
Zahid berkata, sebahagian pemimpin Bersatu merupakan ‘katak-katak politik’ yang mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tergamak membelot undi rakyat khususnya pengundi BN untuk bersekongkol dengan penzalim bagi mengelak dikenakan pendakwaan politik,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Bersatu bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, bagaimanapun setelah menyedari mereka hilang sokongan maka mereka meninggalkan gabungan itu.
Katanya, Bersatu telah memperdaya PAS untuk memecahkan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Umno pada 2019.
“Membentuk PN dan mendesak Umno menyertainya atas alasan ummah untuk mengambil kesempatan menamatkan Umno.
“Syukur alhamdulillah pemimpin Umno yang setia berjaya menyelamatkan parti terbesar Melayu itu daripada tergadai,” katanya.
Justeru Zahid mengingatkan rakyat bahawa tidak terpedaya dengan watak berbeza dimainkan oleh ‘pelakon’ yang sama.
“Ketahuilah sebahagian PN adalah PH dan sebahagian PH adalah PN kerana Bersatu daripada origin politik yang sama,” katanya.