Perikatan Nasional (PN) tidak boleh mendabik dada kononnya gabungan itu bersih dan menentang rasuah sebagaimana yang selalu diuar uarkan.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, kerajaan PN
hanyalah 'indah khabar dari rupa' kerana terbukti mereka juga melindungi
pemimpin yang terpalit skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik
Tentera Laut Diraja Malaysia.
"Sehingga kini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan PN tidak
menafikan keterlibatan pimpinan-pimpinan kanannya dalam skandal-skandal
mutakhir negara.
"Umum mengetahui Dr Latiff Ahmad, bekas menteri Bersatu
adalah tokoh politik yang dinamakan di dalam laporan audit forensik mengenai
kelewatan projek LCS.
"Syarikat Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat palsu yang
dinamakan terlibat menyeleweng sehingga lebih RM200 juta peruntukan
projek-projek pertahanan laut adalah syarikat yang dikaitkan dengan Dr Latiff.
"Bersatu tidak memberi sebarang penjelasan atau menafikan
perkara ini. Latiff pula tidak menyaman saya kecuali membuat satu laporan
polis. Tindakan Bersatu ini seolah-olah mahu perkara tersebut dilupakan begitu
sahaja oleh rakyat," kata Rafizi dalam kenyataannya.
Calon parlimen Pandan itu juga mendakwa bagaimana seorang lagi
pimpinan kanan Bersatu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan terpalit dengan kontroversi
perbekalan meriam artileri (self-propelled Howitzer) yang turut menjadi isu
besar di kalangan pengurusan angkatan tentera.
"Sehingga kini Muhyiddin dan PN tidak berjaya menangkis
bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini.
"Sebab itu, Muhyiddin dan PN adalah golongan terakhir yang
boleh mendabik dada kononnya mereka bersih.
"Semasa KEADILAN mengambil langkah berani mengisytiharkan
harta pula, tidak ada seorang pun pemimpin dari Bersatu yang berani
mengisytiharkan harta sedangkan pandangan umum rakyat ialah ahli politik yang
tidak berani mengisytiharkan harta pasti ada sesuatu yang disembunyikan,"
katanya.
Tambah Rafizi, walaupun tempoh 18 bulan pentadbiran PM Muhyiddin
Yassin bunyinya pendek namun ia adalah tempoh yang paling sengsara dari segi
ekonomi rakyat menghadapi Covid 19, jumlah kematian yang tinggi akibat wabak
dan huru hara dalam pemerintahan.
Memberikankan undi kepada PN, katanya, samalah seperti rakyat
mengundang kembali pengalaman sengsara 18 bulan itu.