Azmin tak berani isytihar harta, ikut budaya BN?
Budaya takut mengisytiharkan harta kepada umum sebelum ini adalah budaya khas pemimpin Umno BN namun sejak kebelakangan ini budaya tersebut telah dengan suksesnya ditiru oleh pemimpin PN.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Lee Chean Chung, sikap Ketua Penerangan Bersatu Azmin Ali yang meremehkan perisytiharan harta calon Pakatan Harapan, jelas menunjukkan bahawa pemimpin kanan Bersatu itu telah dipengaruhi oleh budaya ‘rosak’ BN ketika ini.
“Pengisytiharaan harta kepada orang awam adalah satu perkara yang amat mudah dan jelas. Ini supaya pengundi dapat tahu kedudukan kewangan calon dengan jelas, dan tidak ada kecurigaan terhadap ahli politik yang cuba membuncitkan perut dan poket mereka.
“Lebih-lebih lagi, selepas pengkhianatan Langkah Sheraton dan lompatan secara beramai-ramai, rakyat sudah mengalami defisit kepercayaan terhadap orang politik. KEADILAN mengambil inisiatif tersebut supaya dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap proses politik.
“Pengisytiharan kepada SPRM bukan kaedah terbaik. Ini kerana rakyat sekarang ada kesangsian terhadap SPRM. Cara terbaik adalah pengisytiharan secara terbuka, dan bukan cara tertutup,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, calon Ahli Parlimen Petaling Jaya itu mengucapkan tahniah kepada Azmin kerana begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya baharu yang pernah beliau tentang sejak dua dekad lalu.
“Saya memetik kenyataan beliau yang pernah melabel Pas sebagai “Pak Lebai” (kerana kebobrokan parti itu). Namun dia juga antara yang menyokong ideologi pak lebai (ketika ini).
“Saya berharap rakyat dapat membandingkan kenyataan politikus dengan rekod mereka, tidak kira dari parti mana. Jangan biar pembohongan, momokan dan kenyataan yang cuba mengelirukan terus mendominasi wacana politik negara kita,” katanya lagi.