Apa pembangunan dibuat Peja, setakat ‘ayor – ayaq’ sajakah?
Pemimpin Bersatu seharusnya lebih cerdik dalam menanggapi cabaran pemimpin Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Ketua Cabang KEADILAN Tambun, Muhamad Arafat berkata, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu seharusnya menunjukkan apakah pembangunan yang dilakukan di parlimen Tambun kepada rakyat sebelum mempersoalkan pencabarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya tidak tahu perbezaan antara ‘ayor dan ayaq’.
“Kita berada di parlimen Tambun, iaitu (kawasan) kepala pengkhianat di Perak. Baru baru ini beliau keluarkan benda viral ‘ayor dan ayaq’. Ini sangat memalukan. Apa standard wakil rakyat di sini?
“Kalau kamu pemimpin hebat, terbukti membela rakyat sepatutnya kamu keluarkan report card wakil rakyat kamu selama 4 tahun di Tambun
“Kalau pemimpin hebat harus berikan maklumat apa yang kamu bangunkan di Tambun selama ini. Ini macam lawak, (orang tanya) apa kamu buat di Tambun?, ‘ayor – ayaq’. Ini saja dia tahu,” katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Perak untuk memperkenalkan Datuk Seri Anwar sebagai calon di Tambun.
Arafat yang juga penyandang ADUN Hulu Kinta itu menegaskan rakyat sangat perlu memilih kerajaan terbaik yang mampu memberikan kepimpinan berkualiti, mengawal rasuah dan perkauman pada PRU kali ini. Bukan kerajaan yang hanya pandai beretorik sehingga harga barang pun gagal dikawal.
“Tiga faktor (pilih kerajaan). Pertama kita perlukan pemimpin yang berkebolehan mentadbir negara. Kedua kita perlukan kerajaan yang boleh mengawal rasuah. Kita juga perlukan kerajaan yang boleh kawal perkauman
“Ini mereka tubuh pasukan jihad tangani inflasi. Sebelum tubuh inflasi 2.8%. Selepas tubuh inflasi naik 6.7%. Inilah kehebatan mereka tadbir negara. Kita banding dengan pemimpin kita, Anwar Ibrahim dia telah terbukti diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik.
“Saya dalam sidang DUN Perak, tanya apa yang Kerajaan Negeri buat untuk kawal harga barang. Bila saya tanya Exco lari, tanya Exco lari, tak reti jawab. Akhirnya apa saya buat? Ketika itu harga telur naik, ayam naik. Saya bawa ayam dalam DUN bagi hadiah kepada Exco,” katanya.
Beliau sebaliknya menyeru rakyat Malaysia agar memastikan Anwar diangkat sebagai PM ke 10 kerana beliau satu satunya pemimpin yang boleh memastikan tidak berlaku rasisme dalam negara.
“Apa berlaku di Malaysia, soal rasis ini adalah untuk kepentingan politik Umno BN. Umno kata anak Melayu saja anak aku. MCA kata anak Cina saja anak aku. MIC kata anak India saja anak aku
“Tetapi Datuk Seri Anwar kata anak Melayu anak aku, anak Cina anak aku, anak India anak aku.
“Inilah kekuatan kita untuk membangun dari sudut ekonomi dan pastikan rakyat dijaga, rasuah di kawal. Tanggungawab rakyat Tambun (dalam PRU 15) bukan memilih Ahli Parlimen Tambun saja tetapi memilih orang yang hebat untuk mentadbir negara kita,” katanya lagi.