Sepakat atau hadapi ekstremisme agama, Zaid beri amaran kepada Umno, PH.
PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa Pakatan Harapan (PH) agar bekerjasama dengan Umno untuk membentuk blok politik “berasaskan Melayu yang lebih sederhana” bagi menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) yang lebih “ekstrem”.
Beliau berkata, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), PH yang bertubi-tubi menyerang Umno kerana rasuah dibutakan oleh PN yang menjaja pemikiran yang lebih “berbahaya”, “ekstrem, bersifat keagamaan dan hampir fasis.”
Ideologi itu kini telah menjadi “kuasa yang menggerunkan di negara ini”, kata bekas menteri undang-undang itu.
“Kita tidak boleh membenarkan negara ini secara asasnya berubah selama-lamanya,” katanya.
Apabila “ekstremisme keagamaan” telah mula bertapak, ia sukar untuk disingkirkan, tambahnya.
Gabungan PN terdiri daripada parti Melayu Islam Bersatu dan PAS, serta Gerakan, STAR dan Parti Maju Sabah, yang berbilang kaum dan agama.
“Biar pihak yang bagus, atau secara relatifnya bagus dan yang sederhana bekerjasama. Biar akal budi mengatasi ego,” kata Zaid.
Zaid berkata, apa sahaja isu PH dengan Umno boleh “diselesaikan”. Parti Melayu yang pernah mendominasi itu juga mempunyai kekuatan tersendiri, tambahnya.
Sebagai alternatif, beliau mencadangkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk membentuk “blok kukuh” dengan gabungan di Sabah dan Sarawak, jika beliau lebih selesa begitu.
Zaid menyifatkan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg sebagai “pemimpin yang berfikiran wajar dan sederhana”.
Katanya, kedua-dua Abang Johari dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor boleh menyokong Anwar sebagai pemimpin negara.
“Politik kadangkala tentang memilih yang kurang buruk antara dua keburukan, (bukan) idealisme,” katanya.
“Saya harap (Anwar) buat keputusan yang sukar namun tepat, supaya kita dapat bendung arus ini.”
Dengan beberapa negeri, termasuk Selangor, dijangka mengadakan pilihan raya negeri, Zaid memberi amaran bahawa tindakan mesti diambil sekarang untuk memastikan PN tidak menang di Selangor.
Jika itu terjadi, “permainan tamat”, katanya.
Semalam, PH memenangi 82 kerusi pada PRU15, jumlah terbesar dalam kalangan semua parti, termasuk lima kerusi dimenangi DAP Sarawak dan satu oleh Muda.
PN ketinggalan dengan 73 kerusi, termasuk 22 yang dimenangi bawah panji PAS, sementara BN menyusul dengan 30 kerusi.
Sementara itu, GPS memenangi 22 kerusi manakala GRS menyapu enam kerusi.