ANWAR YANG LUAR BIASA…


 Bagi mereka yang mengikuti kempen PRU15 yang sedang berlangsung sekarang, pasti menyedari bahawa berbanding ketua-ketua parti yang lain, Anwar Ibrahim adalah yang paling aktif sekali.

Setiap hari dan tanpa rehat, beliau akan menjelajah di negeri yang berbeza untuk menjalankan kerja kempennya, selain tidak melupai Tambun, kawasan di mana beliau bertanding kali ini.

Di setiap negeri yang dikunjunginya itu, biasanya sudah diatur lima atau enam program yang perlu dihadirinya daripada pagi hinggalah lewat malam.

Dalam setiap program yang dihadirinya itu, selain beramah mesra dengan pengundi, Anwar juga akan menyampaikan ucapannya yang paling kurang selama setengah jam di setiap program.

Sebagaimana biasa juga, ucapannya sentiasa penuh semangat dan bertenaga untuk meyakinkan pengundi agar melakukan perubahan dan memenangkan PH dalam pengundian PRU15 pada 19 November ini.

Melihat Anwar berkempen dan ke sana sini bagai lipas kudung setiap hari, bukan saja tenaganya terlihat luar biasa, bahkan seperti tiada istilah penat dalam dirinya.

Walhal usianya kini sudah mencecah 75 tahun, bukan muda macam dulu lagi.

Beliau pula melakukan kempen dengan aktif itu sejak sebelum hari penamaan calon lagi.

Oleh kerana hari mengundi ada berbaki lima hari lagi, dijangka Anwar akan terus ligat ke seluruh negara dengan program kempennya sehinggalah ke malam akhir sebelum hari pengundian.

Bergerak dari satu negeri ke satu negeri, kemudian menghadiri lima atau enam program bertemu rakyat dan berceramah hingga lewat malam dan esoknya kena bertolak ke negeri lain untuk meneruskan rutin yang sama, hakikatnya ia bukanlah tugas yang mudah untuk dilakukan.

Tambahan lagi, dalam usianya seperti sekarang, apa yang dilakukan Anwar itu belum tentu mampu dilakukan oleh orang yang lebih muda daripadanya.

Itulah Anwar, sejak dulu begitulah keaktifan dan kegigihan yang ditunjukkan, cuma yang mengkagumkan, dengan peredaran masa, tenaganya sebagai manusia tentulah tidak sama seperti 10 atau 15 tahun sebelum ini.

Dalam perbualan dengan beberapa orang, ramai yang melahirkan kekaguman atas semangat dan stamina yang ditunjukkan Anwar itu.

Ternampak iltizamnya untuk membawa perubahan kepada negara ini amat membara.

Seorang kenalan yang baru berusia 60 tahun berkata, bukan saja dia tidak mampu melakukan seperti Anwar itu, malah melihat Pengerusi PH itu ke sana sini pun sudah membuatkannya terasa penat.

Yang hairannya juga, kata beliau, dalam setiap penampilannya sama ada bertemu rakyat, pergi ke masjid atau menyampaikan ceramah, wajah Anwar sentiasa ceria dan tidak menampakkan ada stress sama sekali.

Begitu dengan rakan-rakan dalam komuniti ekonomi dan perniagaan, turut tidak terkecuali meneliti dengan rapat kempen yang sedang dilakukan Anwar sekarang ini.

Kata mereka, kegigihan Presiden PKR yang luar biasa itu memberi harapan yang baik kepada masa depan negara jika ditakdirkan beliau berjaya menjadi Perdana Menteri.

Sebagai bakal ketua kerajaan, kita bukan saja memerlukan seorang yang berpengetahuan, dekat dengan rakyat, mempunyai hubungan antarabangsa yang baik serta beberapa ciri yang lain lagi, kesediaan bekerja keras serta gigih adalah tunjang utamanya kerana negara sedang berdepan pelbagai masalah yang serius ketika ini, kata seorang ahli perniagaan yang berjaya di ibu negara.

Anwar memang ada kelebihan dalam soal itu dan saya yakin rakyat akan menilai kelebihan itu demi masa depan mereka, tegasnya lagi.– ShahbudinHusin 14/11/2022.