Umno mahu PRU segera sebab gagal kawal ringgit?
Kejatuhan nilai matawang ringgit yang seolah olah di luar kawalan Kerajaan Umno BN mungkin salah satu penyebab parti itu ingin mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 seawal yang boleh biar pun terpaksa mengharung banjir.
Menurut Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Terengganu, Faizah Ariffin, tidak mustahil kejatuhan nilai ringgit sehingga RM4.60 untuk satu dollar Amerika Syarikat jika dibiarkan berlarutan ke tahun hadapan akan menyaksikan peningkatan harga barang keperluan harian yang tidak terjangkau sebahagian besar rakyat, dan menyebabkan protes di peti undi.
“Oleh itu, sikap terdesak Umno untuk membubarkan parlimen ini tidak lebih daripada sekadar menyerlahkan kebimbangan mereka terhadap reaksi rakyat menghadapi kegagalan urus tadbir Perdana Menteri dari Umno yang semakin tidak terkawal.
“Keadaan matawang ringgit kini paling lemah dalam sejarah, inflasi makanan melonjak tinggi, pengangguran mencecah 3.7%, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) hingga 3 kali dan banyak lagi tentunya bakal menyumbang kepada kenaikan bahan makanan asas, bayaran ansuran kenderaan, rumah dan pelbagai lagi.
“Ini semua adalah “bom jangka” yang bakal meledak pada bila-bila masa dan sekaligus membongkarkan kegagalan kerajaan dipimpin Umno dengan sokongan Bersatu dan Pas.
“Adakah ini punca sebenar Umno inginkan pilihan raya walaupun penggal parlimen hanya berakhir pada pertengahan tahun hadapan?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Faizah yang juga Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat turut membidas pemimpin Umno yang langsung tidak mempunyai perasaan belas kasihan apabila berkeras mahu mengadakan PRU pada musim tengkujuh hujung tahun ini.
Katanya, sikap tidak menghiraukan rakyat yang bakal menghadapi musibah banjir terutama di Pantai Timur itu menyerlahkan keangkuhan Umno yang kononnya membela rakyat marhaen.
“Ini merupakan satu daripada banyak contoh tidak bertanggungjawab dan bongkak yang ditunjukkan Umno tatkala rakyat dalam kegelisahan menunggu musim tengkujuh dengan risiko banjir cukup tinggi terutama negeri Pantai Timur.
“Sikap sombong, gila kuasa dan mementingkan diri cukup ketara dalam kenyataan pemimpin Umno apabila tiada satu pun gesaan terhadap persediaan menghadapi banjir atau kesempitan hidup yang dihadapi rakyat disentuh.
“Ini memberi gambaran jelas banjir tidak menjadi topik perbincangan utama dalam mesyuarat tertinggi Umno. Tidak hairanlah apabila Umno dan Barisan Nasional berterusan meratib agar PRU15 diadakan segera kerana mereka langsung tidak faham denyut nadi kebimbangan rakyat,” katanya lagi.