Dari Rafizi Ramli
6 Oktober 2022
BATAL SURAT NIAT ANUGERAH KONTRAK MERIAM SPH KEPADA SYARIKAT ADA
KAITAN ANAK MENTERI
Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Dato’ Seri
Hishamuddin Hussin yang memberi maklum balas positif mengenai pendedahan
kontrak pembekalan meriam artileri SPH berjumlah RM834 juta.
Saya telah mendedahkan bagaimana keputusan Kerajaan Persekutuan
melantik MA Analytics Sdn Bhd, sebuah syarikat setahun jagung untuk
dianugerahkan kontrak ini secara rundingan terus adalah bertentangan dengan
kehendak pertahanan negara. Kementerian Pertahanan secara jelas memohon supaya
kontrak ini dibuat secara tender terhad supaya spesifikasi pertahanan dapat
dipenuhi pada harga yang
terbaik
untuk negara.
Kenyataan Hishamuddin itu mengesahkan bahawa keputusan Kerajaan
Persekutuan memberi tender secara rundingan terus itu adalah benar. Jawapan
beliau semalam hanyalah menyebut bahawa kontrak itu tidak muktamad kerana masih
dirundingkan.
Masalahnya, jika keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Surat
Niat tidak dibatalkan segera, kontrak itu masih lagi akan diberikan kepada MA
Analytics Sdn Bhd. Yang mungkin berubah hanyalah harga akhir yang dibayar oleh
rakyat.
Oleh itu, saya menyambut baik kenyataan Hishamuddin dengan
menggesa supaya keputusan melantik MA Analytics Sdn Bhd secara rundingan terus
dibatalkan dengan segera. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan hendaklah kembali
kepada proses tender terhad seperti yang disarankan oleh Kementerian Pertahanan
mengikut spesifikasi persenjataan yang telah ditetapkan oleh Angkatan Tentera
Darat.
Apatah lagi dalam keadaan MA Analytics Sdn Bhd nampaknya
didalangi oleh pihak-pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Timbalan
Menteri Pertahanan sendiri, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz. Ahli Parlimen
Tanah Merah ini menang atas tiket UMNO tetapi melompat menyertai BERSATU
selepas PRU14.
Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan siasatan ke atas
individu-individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan
bersama syarikat-syarikat dengan anak Ikmal Hisham iaitu Ikmal Hadzlan bin
Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob.
Saya akan menunjukkan bukti-bukti pemilikan bersama yang
mengesahkan bahawa MA Analytics Sdn Bhd adalah syarikat kroni berkait dengan
Timbalan Menteri Pertahanan esok.
Saya pasti Hishamuddin sedia maklum mengenai perkara ini.
Jika dia benar-benar prihatin mengenai kepentingan pertahanan
negara, wajarlah dia mengambil tindakan sebagai Menteri Pertahanan membatalkan
Surat Niat kepada MA Analytics Sdn Bhd dengan segera.
Saya juga menunggu maklum balas dari Timbalan Menteri
Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai pendedahan ini.
RAFIZI RAMLI