PEROLEHAN SISTEM MERIAM
ARTILERI TENTERA DARAT: PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN ARAHKAN RUNDINGAN
TERUS DENGAN SYARIKAT BERUSIA DUA TAHUN.
Belum pun isu skandal
pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) reda, proses perolehan pertahanan negara
terus berkecamuk akibat campur tangan pimpinan politik kerajaan yang tidak
mengendahkan pandangan dan keputusan pimpinan angkatan tentera.Salah satu
perolehan besar yang menjadi sebutan dan kontroversi terkini ialah pembelian
meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) yang melibatkan peruntukan
sekitar RM854 juta. SPH ialah meriam artileri yang digunakan oleh Angkatan
Tentera Darat dan diukur antaranya dari segi keupayaan jarak tembakan dan
keperluan mobilisasi/pengangkutan.
Saya telah mengkaji
kontroversi perolehan ini sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti-bukti
bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan
spesifikasi dan keperluan angkatan tentera.Kementerian Pertahanan telah membuat
permohonan kepada Kementerian Kewangan agar perolehan sistem meriam artileri
SPH yang baru melalui proses tender terhad, seperti amalan perolehan
kelengkapan pertahanan amnya.Memang menjadi amalan perolehan pertahanan negara
bahawa pendekatan tender terhad digunakan untuk mengimbangi keperluan
kerahsiaan pertahanan negara (supaya spesifikasi persenjataan tidak diketahui
umum) dan mendapatkan nilai terbaik wang rakyat (agar pembida terbaik
dilantik).Walau bagaimana pun, permohonan melaksanakan tender terhad oleh
Kementerian Pertahanan ini ditolak oleh Kementerian Kewangan, seperti yang
dimaklumkan oleh wakil Bahagian Perolehan Kerajaan, Datin Rosni Mohd Yusoff (bagi
pihak Kementerian Kewangan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan:
Saya mengucapkan tahniah
kepada penjawat awam seperti Datin Rosni dan kakitangan Kementerian Kewangan
yang pintar menyatakan secara tersirat bentuk-bentuk campur tangan yang telah
berlaku dalam perolehan meriam artileri ini:1. Menteri Kewangan menolak
permohonan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan tender terhad, sebaliknya
mengarahkan supaya perolehan dianugerahkan terus kepada sebuah syarikat bernama
MA Analytics Sdn Bhd pada harga RM853 juta2. Syarikat MA Analytics Sdn Bhd
telah menulis kepada Perdana Menteri untuk merayu mengenai perkara ini dalam
satu surat bertarikh 21 April 2022.
Saya lampirkan surat
dari MA Analytics kepada Perdana Menteri itu yang merakamkan nota arahan Perdana
Menteri yang menjadi sandaran keputusan Kementerian Kewangan mengarahkan
perolehan berjumlah RM853 juta ini diberikan kepada MA Analytics:Surat tersebut
memohon agar Perdana Menteri campur tangan untuk menyegerakan keputusan
permohonan MA Analytics Sdn Bhd untuk dianugerahkan kontrak membekalkan meriam
artileri SPH secara rundingan terus.
Perdana Menteri
kemudiannya mencatatkan nota arahannya kepada Menteri Kewangan pada 27 April
2022 seperti berikut:“... YBM MOF, Saya sokong permohonan ini. Sila [......]
ambil tindakan segera”Pada 25 Julai 2022, Kementerian Pertahanan akhirnya
terpaksa akur dengan arahan Menteri Kewangan.Satu Surat Niat (“Letter of
Intent”) telah dikeluarkan yang melantik MA Analytics untuk membekalkan sistem
meriam artileri SPH secara rundingan terus, walaupun ini bertentangan dengan
kehendak dan permohonan Kementerian Pertahanan sebelum itu yang mahu perolehan
ini dibuat secara tender terhad (seperti lazimnya).Saya juga telah menyemak
latar belakang syarikat MA Analytics Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan
membekal dan menyelia sistem meriam artileri SPH berjumlah RM835 juta
ini.Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa syarikat
ini hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh
kerajaan, tanpa rekod dalam industri pertahanan dan pembekalan persenjataan
yang sebegini besar.Saya ingin memulakan siri pendedahan perolehan persenjataan
dan pertahanan negara (siri meriam artileri) dengan menanyakan soalan-soalan
berikut:
1. Siapa di belakang syarikat
MA Analytics Sdn Bhd yang tiada pengalaman ini sehingga Perdana Menteri sendiri
yang memberi arahan agar tender dianugerahkan secara rundingan terus?
2. Kenapa kerajaan UMNO
– PAS -BERSATU terus menggadaikan kepentingan pertahanan negara dan kebajikan
askar dengan memperjudikan sistem persenjataan di tangan syarikat-syarikat yang
tidak ada pengalaman dan rekod seperti MA Analytics Sdn Bhd ini?Saya akan
mendedahkan pelbagai kepincangan lain dalam pembelian meriam artileri SPH ini
setiap hari dalam minggu ini dan minggu depan.Oleh kerana UMNO nampaknya begitu
yakin dengan sokongan pengundi Melayu kepada mereka sehingga sanggup memanggil
PRU15 semasa banjir, saya ingin lihat berapa banyak lagi sokongan kepada UMNO
jatuh merudum apabila mereka berkempen di dalam banjir untuk mempertahankan
penyelewengan-penyelewengan sistem pertahanan negara seperti LCS dan meriam
artileri SPH ini. Sumber Kenyataan FB Rafizi ramli