PRU banjir, salahkan Menteri PN?
Oleh: Hassan Abdul Karim
Pada petang Khamis 6 Oktober 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terselamat di dalam “sepak terajang silat politik” Malaysia.
Tanpa memuji berlebihan tetapi ternampak kebijaksanaan anak Temerloh yang menjadi Ahli Parlimen Bera mengatur langkah sebijak Tok Bahaman, pahlawan Pahang apabila Ismail Sabri tidak terburu-buru mempersembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen pada pertemuan dengan Tuanku Agong petang 6 Oktober itu.
Ertinya Perdana Menteri dapat mengelak dari menanggung malu seperti yang dialami oleh mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin apabila permohonannya yang pertama untuk Pengisytiharan Dharurat telah ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri ke sembilan, Ismail Sabri mungkin telah belajar sesuatu dari sejarah.
Pada 6 Oktober, Ismail Sabri mungkin telah mendapat maklumat bahawa 12 orang menteri dari Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat atau warkah ke Istana Negara memohon Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permintaan untuk pembubaran Parlimen.
Jadi apabila Perdana Menteri tidak membincangkan soal pembubaran Parlimen dengan Tuanku Agong pada petang 6 Oktober, maka menteri-menteri Perikatan Nasional itu telah terlajak langkah.
Anak-anak muda di luar sana menyebut keadaan sedemikian sebagai “kantoi”.
Dalam hal ini Ismail Sabri bertindak selamat dan cermat, untuk menunggu masa melancarkan serangan balas terhadap 12 orang dari Perikatan Nasional yang telah menikamnya dari belakang.
Politik Machivellian, perangkap Umno
12 menteri-menteri Perikatan Nasional itu sekarang jelas dari segi sejarah telah memperlihatkan politik Machivellian dan politik Brutus.
Peribahasa Melayu menyatakan, “terlajak perahu boleh diundur” tetapi terlajak warkah ke Istana Negara berat padahnya.
Ismail Sabri mungkin mengurut dada bersabar melihatkan 12 orang menteri dari Perikatan Nasional itu yang diangkat olehnya kepada Yang di-Pertuan Agong supaya dilantik menjadi menteri-menteri Kabinet telah bertindak seperti Brutus menikam Julius Ceaser dari belakang.
Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kelihatan bersemangat dan tidak malu-malu apabila hadir di Parlimen petang Jumaat 7 Oktober ini untuk sidang pembentangan Belanjawaan Negara bagi tahun 2023.
Yang kelihatan malu tersipu-sipu ialah “Si Brutus” 12 orang menteri Perikatan Nasional yang telah menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.
Adakah patut mereka 12 orang menteri itu duduk di pihak Kerajaan bersama Perdana Menteri di blok Eksekutif di dalam Dewan Rakyat selepas mereka menikam Perdana Menteri dari belakang?
Tidakkah mereka sedar bahawa tindakan mereka menulis dan menandatangani surat hitam putih kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah satu representasi bahawa mereka telah melanggar prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri seperti yang dikehendaki di dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan?
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tentu tidak menuntut kesemua 12 menteri dari Perikatan Nasional itu segera meletakkan jawatan. Kenapa?
Kerana majoriti Ismail Sabri di Dewan Rakyat sangat tipis. Kalau Perdana Menteri cabar 12 menteri dari Perikatan Nasional itu meletakkan jawatan dan cabaran itu disambut, maka akan tumbanglah kerajaan hibrid BN/PN di Parlimen dan timbul krisis Perlembagaan baru pada 6 Oktober.Kesannya tidak sempat Belanjawan 2023 dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober.
Menteri PN sepatutnya letak jawatan
Jadi pada 6 Oktober itu, Ismail Sabri terpaksa berjiwa besar dengan berkata seperti dirakam di kaca televisyen bahawa semua orang termasuk 12 menteri dari Perikatan Nasional itu boleh hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tetapi Ismail Sabri yang pernah menjadi peguam profesional sebelum ini mungkin memahami bahawa di dalam konvensyen Perlembagaan, apa yang dilakukan oleh 12 menteri Perikatan Nasional itu adalah salah walaupun bertujuan baik untuk menghalang pembubaran Parlimen kerana mengelakkan risiko ancaman banjir sewaktu pilihan raya umum. Mengapa salah?
Kerana 12 orang menteri Perikatan Nasional itu telah melanggar konvensyen Perlembagaan dengan mendahului Perdana Menteri dalam soal mempersembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Apa yang dilakukan ole 12 orang menteri Perikatan Nasional itu adalah contoh tujuan menghalalkan cara seperti yang dilakukan oleh ahli-ahli politik Machivellian.
Jadi apa yang wajar dari segi konvensyen patut dilakukan oleh 12 orang menteri kabinet dari Perikatan Nasional itu?
Jawapannya ialah mereka yang telah terlondeh dan telanjang bulat pada petang 6 Oktober itu sepatutnya meletakkan jawatan seperti apa yang dilakukan oleh menteri-menteri Kerajaan British yang tidak bersetuju dengan Perdana Menteri Boris Johnson.
Pada tengahari Ahad 9 Oktober 2022 pada hari sambutan Maulidur Rasul, Perdana Menteri Ismail Sabri sekali lagi mengadap Yang di-Pertuan Agong. Drama sandiwara politik Malaysia bersambung semula.
Kali ini Ismail Sabri ada alasan yang kukuh untuk memohon Yang di-Pertuan Agong supaya memperkenankan Parlimen dibubarkan. Alasannya ialah warkah yang ditandatangani oleh 12 orang menteri kabinet dari Perikatan Nasional adalah bukti nyata Perdana Menteri telah hilang legitimasi atau keabsahan di Parlimen.
Justeru itu, dalam keadaan sedemikian Yang di-Pertuan Agong tiada pilihan lain melainkan memperkenankan Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-15 diadakan.
Ismail, Zahid baling batu sembunyi tangan
Kemudian pada 10 Oktober 2022 Perdana Menteri di dalam Perutusan Khasnya jam 3.00 petang telah mengumumkan Parlimen ke-14 dibubarkan. Di dalam perutusan khas tersebut Perdana Menteri ada menyebut “Kerajaan pintu belakang” dan “kerajaan tebuk atap”. Bertambah kayalah istilah-istilah buruk dalam kamus politik Malaysia.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin-pemimpin Umno mendapat alasan yang cukup baik untuk mengelakkan kemarahan rakyat. Rakyat rata-ratanya marah tindakan pembubaran parlimen yang awal untuk mengadakan PRU-15 dalam dalam musim Monson Timur Laut.
Perdana Menteri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekarang cuba secara bulat-bulat menyalahkan 12 orang menteri Perikatan Nasional yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai punca Parlimen terpaksa dibubarkan.
Pemimpin-pemimpin Umno ini seperti “membaling batu dan menyembunyikan tangan”.
Tetapi rakyat secara umumnya tidak mudah lupa dan tertipu dengan drama dan sandiwara Umno.
Sebenarnya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Majlis Tertinggi Umno, dan tubuh badan Umno itu keseluruhannya termasuk Naib Presidennya Ismail Sabri Yaakob adalah secara bersesama memikul kesalahan memaksakan Pilihanraya Umum diadakan dalam keadaan ancaman banjir besar musim tengkujuh yang diramal tiba beberapa minggu lagi.
Tindakan Umno dan Barisan Nasional keseluruhannya adalah tidak bermoral kerana memperjudikan nyawa dan keselamatan rakyat demi mengejar kuasa. Merekalah yang sebenarnya golongan ahli politik Machivellian yang terburuk di Malaysia sekarang.
Pemimpin-pemimpin Umno ini sebenarnya adalah Brutus yang menikam belakang rakyat.