PERLUKAH DSAI BERTEMU DAN BERBINCANG DENGAN TUN?- PROFF AGUS

 


PERLUKAH DSAI BERTEMU DAN BERBINCANG DENGAN TUN?


1. Ramai menyatakan tidak perlu.

2. Mereka marah Tun kerana Tun tidak melepaskan jawatan PM kepada DSAI seperti yang dijanjikan, menyokong Azmin Ali untuk menyaingi kepimpinan DSAI dalam PKR, tidak menunaikan manifesto PH, membuat pelantikan utama tanpa berbincang dengan Majlis PH, menganjurkan Kongres Maruah Melayu bersama PAS dan UMNO untuk meremehkan DSAI dan PH, meletak jawatan PM tanpa berbincang dengan Majlis PH sehingga membawa kepada kejatuhan PH, dan banyak lagi.

3. Bagi mereka, adalah lebih bermaruah melihat PH kalah daripada bekerjasama dengan Tun Mahathir dan menggelar Tun sebagai Tokoh Khianat.

4. Mereka menyatakan Tun menanggung defisit kepercayaan rakyat yang besar kerana pengkhianatannya yang membawa kepada kejatuhan PH dan sejarah telah membuktikan Tun sanggup berbuat apa saja asalkan DSAI tidak menjadi PM. Jadi, mereka mengingatkan DSAI agar tidak lagi dipatuk ular di lubang yang sama.

5. Pertanyaannya, bolehkah PH menang tanpa bekerjasama dengan parti lain? Bekerjasama itu bukan bermakna berada dalam satu pakatan yang sama. Bekerjasama itu cukup sekadar electoral understanding untuk saling berkempen dan menyokong, dan untuk mengelakkan pertandingan bertindih.

6. Pada yang menolak pertemuan DSAI dengan Tun, nasihat saya, ketepikan emosi itu. PH tidak boleh terlalu yakin. Masing-masing DSAI dan Tun ada kelebihan dan kelemahan. Suka atau tidak, kedua-dua pemimpin ini sekali lagi perlu bekerjasama untuk menghalang BN/UMNO menang dalam PRU ini.

7. Ingat, dalam politik tidak ada kawan kekal dan musuh yang kekal. Jika melalui kerjasama boleh membawa kemenangan, maka apa masalahnya untuk bekerjasama. Cumanya pastikan kerjasama itu dibuat dengan syarat yang jelas.

8. Rangka dan bincanglah syarat itu. Tidak perlulah saya senaraikan syaratnya, tetapi yang penting dalam pertemuan itu, semua pemimpin PH perlu turut bersama.

9. Selepas itu, buat kenyataan bersama dan bagitahu rakyat syarat-syarat yang telah dipersetujui. Lebih baik lagi, tunjuklah perjanjian yang telah ditandatangani supaya rakyat boleh menjadi saksi kemudiannya.

10. Perbincangan kerjasama ini jangan hanya terbatas dengan Tun sahaja. Segerakan juga pertemuan dengan MUDA, PSM, dan parti-parti yang mendokong aspirasi yang sama.

Masih ada waktu untuk berbincang

11. Negara kita memerlukan kestabilan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Kelmarin, ringgit kita merudum lagi. Kita terdesak memerlukan kerajaan dan pemimpin yang boleh melonjakkan kembali kemajuan negara kita yang telah banyak ketinggalan.

12. Oleh itu, pemimpin politik janganlah keras kepala jika mahu menang pilihan raya. Berjumpa dan berbincanglah untuk merancang strategi bersama. Tanpa bekerjasama, hasrat PH untuk menang hanya satu ilusi.

Tidak Mahu Tun Lagi dalam Politik

13. Jika mengenangkan kesilapan Tun selepas PRU-14 sehingga PH tumbang, saya juga bersetuju dengan pandangan supaya Tun berehat dari politik, apatah lagi mengenangkan umurnya telah 97 tahun.

14. Namun, PRU-15 ini adalah pilihan penting kita untuk melihat Malaysia terus maju ke depan. Kita memerlukan pemimpin yang mempunyai kebolehan dan keupayaan. Kesediaan Tun untuk bertemu dan berbincang dengan DSAI, saya fikir bertolak dari premis ini.

15. Semoganya Tun boleh memberikan sokongan terbuka kepada DSAI sebagai PM kita yang ke-10. Sokongan Tun tentunya memberikan senyuman lebar kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan, kemajuan dan kestabilan.

16. Bagi saya pula, saya mahukan DSAI kerana he has the vision of a leader, not a small-minded politician. Setelah beberapa kali menemu bual DSAI, saya yakin beliau mampu membawa negara kita megah di persada antarabangsa.

17. Oleh itu, kesediaan DSAI bertemu dengan Tun bagi membincangkan tentang PRU-15 adalah wajar dan perlu. Semoganya.