1. Sudah sampai waktunya dalam PRU ini pengundi memilih tidak
berdasarkan kaum dan sentimen agama sempit. Sudah sampai ketikanya pengundi
memilih berdasarkan merit, ketokohan calon, dan parti berwibawa untuk membina
Malaysia yang maju.
2. Parti berwibawa itu ialah parti yang pemimpinnya tidak korup,
tidak rasis, mampu menarik keyakinan pelabur, mempunyai idea, wawasan dan
semangat Malaysia, dan dapat mengangkat Malaysia di pentas antarabangsa.
3. Saya tidak mengharapkan hal ini kepada pengundi 40 tahun ke
atas kerana mereka sudah mempunyai pandangan politik yang stabil terhadap parti
yang hendak disokong. Tetapi bagi pengundi muda yang berumur 18-20 tahun, 21-29
tahun, dan 30-39 tahun, saya mempunyai harapan yang besar terhadap mereka.
4. Setakat bilangan pengundi yang diwartakan sehingga 16 Jun
2022, pengundi berumur 18-20 tahun adalah seramai 1,141,699 (5.4%), 21-29 tahun
seramai 4,974,627 (23.56%), dan 30-39 tahun seramai 4,705,278 (22.28%) daripada
jumlah pengundi seramai 21,115,934 orang.
5. Jika dicampurkan jumlah pengundi muda 18-39 tahun, peratusan
mereka ialah 51.24%. Peratusan ini tinggi dan sangat signifikan dalam
menentukan parti yang menang dalam pilihan raya nanti, sekali gus arah tuju
bangsa ini.
6. Pengundi muda ini cerdik, celik ICT, terdedah kepada media
sosial, dan peka kepada isu-isu semasa. Biarpun ramai yang menyatakan pengundi
18-20 tahun akan mengundi mengikut kecenderungan politik ibu bapa dan rakan
sebaya, mereka adalah pengundi bermaklumat. Mereka cerdik dalam menentukan apa
yang terbaik untuk negara dan masa depan mereka.
7. Saya berharap pengundi muda ini menolak politik perkauman dan
politik keagamaan yang sempit. Demi negara, saya harap mereka berani melakukan
introspeksi nasional tanpa dipisahkan oleh perbezaan kaum dan agama. Jangan
biarkan diri diperkotakkan katikkan oleh perbezaan ini oleh ahli-ahli politik.
Terima realiti kita negara majmuk.
8. Bagi saya, sikap orang politik yang memperdagangkan bangsa
dan agama setiap kali pilihan raya memalukan. Ini menggagalkan usaha untuk
membina Malaysia yang hebat sedangkan merekalah yang berdegar berjanji untuk
membina hubungan rakyat dengan rakyat yang harmoni.
9. Jika ada parti yang mendakwa memperjuangkan bangsa Melayu,
sejauh manakah bangsa ini maju sekarang? Yang kita tahu setiap kali pilihan
raya, parti inilah yang menggunakan orang desa dengan sentimen etnisiti untuk
mendapat sokongan.
10. Begitu juga parti agama, saya melihat kata-kata pemimpinnya
penuh dengan sentimen dan emosi. Dan pembangunan negeri di bawah terajunya pun
tidak boleh dijadikan contoh. Pandangan politiknya banyak yang memecah belahkan
masyarakat, bukannya menyatukan.
11. Saya kali ini tegas menolak parti sebegini. Kerana bagi saya
parti yang hebat ialah parti yang komited menempatkan kepentingan negara
multietnik ini di atas kepentingan parti.
12. Saya harap anak muda juga begitu, melakukan introspeksi
nasional bagi membangunkan Malaysia yang hebat, berdaya saing, dan harmoni.