‘Peluang kerja banyak, graduan teknikal kurang’
Malaysia tidak kekurangan pekerjaan namun mengalami kekurangan serius dalam menghasilkan lulusan berskil tinggi dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Hal itu dibangkitkan oleh Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia, Sim Tze Tzin. Katanya, negara mengalami ketidakpadanan (mis-match) graduan dalam sektor kejuruteraan yang agak buruk.
Tegas beliau, kekurangan graduan pada sektor elektrikal dan elektronik perlu diberi tumpuan serius oleh kerajaan berpandukan satu kaji selidik yang dijalankan pada bulan November 2021 oleh Malaysia Semiconductor Industry of Malaysia (MSIA) ke atas 80 syarikat teknologi tinggi di Malaysia.
“Survey itu mendapati kekurangan pekerja teknikal merupakan masalah terbesar yang dihadapi.
“Dalam laporan tersebut, Malaysia memerlukan lebih 4,000 jurutera elektrikal dan elektronik, 2,500 juruteknik, 1,500 eksekutif, 15,000 operator untuk mengisi kekosongan. Jumlah pekerja sektor berteknologi tinggi yang diperlukan adalah 23,000 orang dalam tahun 2022 sahaja. Ini amat membimbangkan.
“Kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor teknologi tinggi ini adalah pekerjaan berkualiti. Gaji permulaan jurutera RM3,500, teknisyen RM2,500 dan operator RM2,000. Walaupun dengan gaji yang amat menarik, MSIA mendapati mereka sukar mengisi kekosongan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, fakta itu menunjukkan terdapat mis-match yang amat serius antara permintaan pasaran pekerjaan dan graduan yang dihasilkan sehingga menjejaskan usaha menarik pelaburan asing (FDI) ke Malaysia.
“Buktinya Malaysia adalah penerima FDI terendah berbanding negara jiran pada tahun 2021. Malaysia menerima RM48.1 bilion FDI, manakala Indonesia RM130 bilion, Vietnam RM130 bilion, Thailand RM90 bilion dan Filipina RM48.5 bilion,” katanya.
Tambah Sim, kerajaan seharusnya mengambil teguran dari Prof Dr Yeah Kim Leng, pakar ekonomi dari Sunway Universiti yang berpendapat universiti tempatan menghasilkan terlalu ramai graduan “general degrees” dan “liberal arts degree”.
Manakala Presiden Federation of Malaysian Manufacturers, Tan Sri Soh Thian Lai pula berpendapat graduan TVET yang berkualiti teramat penting dalam pembangunan negara.
“Dalam tinjauan saya di sekolah-sekolah menengah, kurang daripada 10% pelajar tingkatan empat memilih jurusan sains.
“Selepas SPM, pelajar yang melanjutkan pembelajaran Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) dan TVET ke peringkat universiti berkurangan lagi. Itu adalah sekolah-sekolah di kawasan bandar di Pulau Pinang. Apakah yang berlaku di kawasan desa di negeri lain?
“Maka, cadangan saya kepada kerajaan ialah Malaysia harus melipatgandakan pembelajaran dan pengajaran STEM dan TVET.
“Saya mencadangkan negara ini mensasarkan 30% graduan STEM dan TVET pada tahun 2030. Untuk mencapai sasaran tersebut, ada keperluan menjadikan ia sebagai misi negara. Pada tahun-tahun 1990an, misi tersebut pernah dijalankan, dan saya merupakan “hasil” misi negara pada masa itu. Jika kita pernah melaksanakan, kenapa tidak mengulangi misi tersebut sekali lagi?
“Kita harus mula dengan penglibatan pelajar tingkatan 4, di mana kerajaan harus sasarkan 30% pelajar memasuki jurusan sains,” katanya.
Dalam hal itu, kata Sim, tanggungjawab ibu bapa amat penting untuk memupuk minat dan menasihati pelajar memasuki jurusan sains. Tanggungjawab guru-guru sains dan matematik juga amat penting untuk membina minat pelajar. Tanggungjawab Kementerian Pendidikan turut penting menyediakan bahan pembelajaran, contohnya makmal sains dan peralatan.
Tegas beliau, selepas SPM dan STPM, pelajar harus dipilih secara khusus dan ditawarkan kepada universiti, kolej dan kolej TVET yang khusus.
“Mereka harus dikenalpasti dan ditawarkan ke jurusan STEM atau TVET. Tanggungjawab guru-guru dalam sekolah adalah mengenal pasti pelajar STEM yang cemerlang.
“Kementerian Pendidikan Tinggi harus menawarkan intake kepada pelajar-pelajar yang dikenal pasti. Kementerian Pendidikan Tinggi juga harus memastikan universiti awam dan swasta menepati misi menghasilkan 30% graduan STEM dan TVET.
“Dalam keadaan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, rantau Asia Tenggara merupakan satu-satunya destinasi tarikan pelaburan FDI dalam sektor teknologi tinggi. Malaysia mempunyai peluang untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi jika melaksanakan dasar yang betul.
“Saya yakin, jika kita berusaha dengan gigih mulai sekarang, Malaysia akan berjaya mengubah nasib Sick Cat of Asia dan mencapai Asian Tigers semula,” katanya lagi.