'Pastikan PRU 15 ini PH ada majoriti perintah negara'


 Dengan pelbagai kelemahan yang melanda Kerajaan BN - PN, para ahli dan penyokong Pakatan Harapan digesa berkerja lebih kuat untuk memastikan berlaku perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan ekonomi yang teruk modal BN - PN terbaharu hanyalah mencerca pembangkang.


Oleh itu, katanya, kuasa mesti dikembalikan agar sebuah kerajaan lebih cekap dibentuk bagi memulihkan keadaan negara kepada sediakala.


"Kuasa mesti kembali kepada rakyat. Mesti ada kekuatan. Sekarang mereka fitnah dan cerca kita berlebihan. Kita boleh lawan tetapi lawan lebih berkesan bila rakyat bangkit


"Biar orang ada keyakinan. Kali ini pastikan kita punya majoriti perintah negara ini," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam ceramah umum di Bandar Tun Razak, malam tadi.


Tegasnya, berbekalkan kubu kuat di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan, PH perlu melancarkan serangan ke Selatan dengan yakin untuk mempertahan atau merampas kerusi yang telah dikhianati.


"Kali ini biar Wilayah Persekutuan menjadi kubu kuat kita. Dengan PH kuat di Selangor serta Negeri Sembilan kita serbu Melaka, Johor dan lain lain.


"Melaka dulu kalah, itu dulu. Kita tak nak jawab PH yang dulu. Kita nak jawab sekarang dan masa hadapan," katanya lagi kemudian mengakhiri ceramah dengan laungan keramat Reformasi beramai ramai.