Menteri
Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini mengumumkan pembubaran Dewan
Undangan Negeri (DUN) secara serta-merta.
Saarani
menamatkan teka-teki berhubung pembubaran DUN Perak apabila mengesahkan Sultan
Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk membubarkan dewan
bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan bersama dengan pusat.
Saarani
berkata pembubaran DUN itu dibuat selaras dengan Fasal 2, Perkara 36 Bahagian
Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
“Pembubaran
bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya
Umum di peringkat Persekutuan,” katanya dipetik laporan BH .
Rabu
lalu, Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk
pembubaran DUN Perak ketika sesi sembah menghadap di Istana Kinta, Ipoh, selain
menambah bahawa pengumuman keputusan permohonan itu akan dilakukan selepas
baginda membuat pertimbangan sewajarnya.
Jumaat
lalu, media melaporkan Pahang dan Perlis masing-masing membubarkan DUN ke-14
berkuatkuasa hari itu juga bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan
serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setakat
ini, hanya DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang,
dan Perlis dilaporkan akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali
dengan pemilihan di peringkat Parlimen.
Ia
kecuali bagi DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui pilihan
raya negeri di mana DUN tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh
matang.