Kerja kuat, bukan sahaja Tambun, Perak tumbang
Beralihnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerusi parlimen Port Dickson ke parlimen Tambun memperlihatkan medan pertempuran hadapan kini beralih ke Perak.
Tidak mustahil dengan front baharu yang dibuka di Tambun akan menyaksikan Perak akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Bagaimanapun, menurut Anwar beliau bertanding di Tambun berasaskan tekad memerangi rasuah dan mahu memajukan negeri itu bukan jaminan kubu KEADILAN atau kawasan selamat.
Katanya, beliau akan berkerja kuat dan berusaha sedaya upaya untuk menang.
“Saya tidak ikut peratus (keyakinan), saya kerja kuat
“InshaAllah kita tawan Perak,” katanya menjawab soalan wartawan selepas majlis dialog bersama masyarakat India di little India Klang sempena meraikan Hari Deepavali 2022.
Ditanya mengenai keinginan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ingin menemui beliau, Anwar berkata tidak ada masalah jika setakat untuk bertemu dan berbincang.
Namun katanya, beliau kekal dengan prinsip menentang rasuah, laksana tadbir urus yang baik dan anti perkauman.
“Tak ada masalah, boleh jumpa, bincang. Namun yang penting selalu saya tekankan, mengapa kita nak lawan BN atau PN.
“Dasar apa? Tolak rasuah, soal tatakelola baik, tolak perkauman, faham pelampau. Kalau isu isu itu, saya tak ada masalah,” katanya.
Terhadap tuduhan parti lawan dalam kempen, kononnya kerajaan Pakatan Harapan 22 bulan menjual harta negara ketika memerintah, Anwar menganggapnya sebagai tuduhan liar dan tiada bukti lengkap.
Sebaliknya, ujar beliau, yang telah nyata dibuktikan adalah segelintir pemimpin BN mencuri wang rakyat dan hal itu telah dibuktikan di mahkamah.
“Banyak fitnah dalam kempen. Tetapi yang curi berpuluh puluh bilion (pemimpin BN) dalam rekod. Yang lempar ini tuduhan melulu. Ada beza. Hilang wang 1MDB, LCS itu dalam rekod PAC atau mahkamah.
“Kita kena jelas, biar ada perbahasan, berdasarkan fakta,” katanya.
Dalam majlis bersama masyarakat India di Klang, Datuk Seri Anwar juga didengarkan lagu perjuangan ‘Aduh Malaysia’ versi Tamil yang dinyanyikan oleh seorang amatur dikenali sebagai John.
Lagu asal dicipta oleh Altimet dan didendangkan di setiap kali ceramah umum melibatkan KEADILAN atau jelajah Pakatan Harapan sebagai lagu tema menolak sikap penyamun BN – PN