KERAJAAN BN DAN PN GAGAL MENJAGA KEPENTINGAN PEKERJA LADANG

 



KEADILAN dan Pakatah Harapan akan terus konsisten membela nasib dan hak masyarakat pekerja ladang di Negara ini. Kekuatan KEADILAN adalah memperjuangkan hak setiap masyarakat tanpa mengira latar belakang di Negara ini. Perkara ini menjadi tunjang kepada KEADILAN untuk terus mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah merekodkan risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada 2021 dan ia dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya masalah kekurangan pekerja ladang tidak diatasi segera. Ini adalah isu pokok yang gagal ditangani oleh Kerajaan BN dan PN selama mereka memerintah.

Kerajaan BN dan PN sepatutnya mengambil inisiatif memperkasakan pekerja tempatan dengan menyediakan latihan berterusan bagi memastikan rantaian pekerja ladang tidak terputus. Apa yang kita lihat adalah Kerajaan hanya memberi fokus untuk membawa masuk pekerja asing ke sektor perladangan. Hal ini menyebabkan pekerjaan di sektor perladangan dimonopoli warga asing.

Kerajaan BN dan PN gagal melatih penduduk tempatan yang kurang berpengalaman atau berkemahiran bagi mengisi kesemua jawatan di sektor perladangan. Tidak ada rekod menunjukkan Kerajaan berusaha membangunkan tenaga kerja tempatan sebagai modal sumber manusia yang berkemahiran, berpengalaman, dan berpengetahuan.

Kebajikan pekerja ladang terus dipandang enteng oleh Kerajaan. Keadaan sekolah yang serba daif telah menyebabkan potensi anak-anak pekerja ladang ini tidak berkembang dengan baik. Selama 60 tahun Kerajaan BN memerintah, isu pemilikan tanah rumah ibadat di ladang-ladang masih gagal diselesaikan. Kegagalan Kerajaan hari ini menjaga kepentingan pekerja dan bekas pekerja ladang semakin jelas apabila kebajikan mereka termasuklah mendapatkan rumah sebagai tempat berlindung juga gagal diselesaikan.

Kehidupan keluarga pekerja ladang tidak akan berkembang dengan baik apabila infrastuktur asas seperti sekolah, rumah dan rumah ibadat tidak terjamin. KEADILAN dan Pakatan Harapan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim sentiasa konsisten memperjuangkan setiap hak rakyat Malaysia termasuk pekerja-pekerja ladang. Walaupun terdapat beberapa perkara berbangkit yang masih belum diselesaikan sepenuhnya, tekad dan iltizam setiap pimpinan Pakatan Harapan akan memastikan setiap masalah berbangkit akan dapat diselesaikan dengan harmoni.

KEADILAN UNTUK SEMUA

Sekian.

Dikeluarkan 12 Oktober 2022

Y.B DR. GUNARAJ GEORGE

Pengerusi Biro Pekerja Ladang KEADILAN

Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja

Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat

Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor,

Ahli Dewan Negeri Selangor N48. Sentosa