Berikutan permohonan Najib Razak untuk
menghadiri sidang Parlimen ditolak oleh Jabatan Penjara, peguam bekas Perdana
Menteri telah menulis surat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah
Zainuiddin bagi memohon pertimbangan selanjutnya.
Peguam Najib itu, Shafee Abdullah dipetik
memberi tempoh sehingga jam 12.00 tengahari ini untuk Hamzah memberi jawapan
kepada rayuan tersebut.
Sekiranya tidak mendapat jawapan, beliau
berkata, tindakan undang-undang akan difailkan bagi membolehkan Najib hadir ke
Parlimen.
Kegilaan apakah ini?
Sebagai banduan yang kini merengkok di penjara
setelah didapati bersalah oleh sembilan hakim sehingga ke peringkat mahkamah
paling tinggi sekali, bukan saja membuat rayuan dan mengambil tindakan mahkamah
suatu tindakan yang salah, bahkan memohon untuk hadir ke Parlimen saja pun
sudah dikira salah.
Apakah Najib tidak sedar status dirinya
sekarang ini?
Sebagai pesalah dan banduan, Najib sepatutnya
sedar beliau sekarang ini sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen untuk
hadir di Dewan Rakyat.
Menunggu pengampunan diraja dan semakan
kehakiman tidak mengubah statusnya sebagai banduan dan boleh menjadikannya
seolah-olah seperti rakyat biasa yang bebas dan merdeka.
Beliau hanya boleh hadir ke mahkamah untuk kes
perbicaraan saja, itu pun dengan kawalan keselamatan oleh pihak penjara.
Kematian ahli keluarga, acara pengkebumian dan
pelbagai kecemasan lain pun tidak boleh dihadiri oleh banduan, melainkan yang
kritikal seperti kematian ibu bapa, isteri dan itu pun melalui pertimbangan
yang khusus serta tidak semestinya semua banduan wajib diberi pelepasan.
Dalam konteks Najib, apakah hadir ke Parlimen
sesuatu yang sangat penting bagi beliau sehingga perlu membuat permohonan,
kemudian mengemukakan rayuan setelah ia ditolak dan seterusnya ingin mengambil
tindakan undang-undang pula?
Apa yang Najib mahu tunjukkan kepada rakyat dan dunia dengan tindakannnya?
Apakah juga kehadirannya ke Parlimen selama
ini 100 peratus sehingga terasa amat bersalah tidak dapat menghadirinya kali
ini?
Kalau begitu, apakah semua banduan lain juga
boleh membuat permohonan yang sama, misalnya untuk hadir ke majlis anak
menerima ijazah, bapa saudara kahwin baru dan majlis sukan anak misalnya?
Dengan status sebagai banduan sekarang ini,
bukan saja Parlimen tidak lagi penting baginya, malah Parlimen juga tidak lagi
menganggap beliau sebagai penting.
Tolonglah Najib, sedarlah diri sikit!!
Jadi banduan pula bukan kerana kesalahan kecil
seperti mencuri telur ayam dan seumpamanya, tetapi kerana kesalahan yang
membuatkan negara malu di mata dunia.
Dengan itu, tak payahlah sekarang ini
mengada-ngada nak tunjuk baik minta hadir ke Parlimen, konon mahu menunaikan
tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.
Segala-galanya sudah tiada erti lagi, duduk
diam-diam di penjara dan bermuhasabah atas kesalahan masa lalu jauh lebih
bererti sebelum dunia ini ditinggal pergi.
Urusan negara dan berbahas di Parlimen biarlah
mereka yang bukan banduan melaksanakannya. – ShahbudinHusin 04/09/2022.