Hasil dijangka turun bagaimana kerajaan mahu biayai pembangunan?


 Belanjawan 2023 mempunyai beberapa isu aneh yang perlu dijelaskan, terutama berkenaan dari manakah Kerajaan BN akan memperolehi kewangan secukupnya untuk membiayai pembangunan.


Menurut pakar di Universiti Malaya, Goh Lim Thye sebagaimana dipetik berkata, peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan pada bajet kali ini walaupun dialu alukan namun agak diragui apakah kerajaan akan mempunyai cukup hasil untuk membiayainya.


"Ia satu perkara baik dan saya berharap ia memberi kesan berganda kepada ekonomi


"Bagaimanapun, saya meragui bagaimana kita akan membiayainya kerana Bajet 2023 meramalkan penurunan dalam kutipan hasil," katanya dipetik Free Malaysia Today.


Tambah Goh, dengan penurunan nilai ringgit maka satu kemungkinan lain yang boleh difikirkan adalah Kerajaan Persekutuan akan berhutang untuk mengekalkan peruntukan pembangunan.


Dalam Belanjawan 2023 dibentang semalam kerajaan memperuntukkan RM95 bilion untuk pembangunan, meningkat 26% berbanding Bajet 2022.


Sementara itu. Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang membangkitkan kehairanan beliau berkenaan pengurangan cukai pendapatan terhadap golongan M40 tetapi Kerajaan menjangkakan hasil kutipan cukai akan meningkat.


"Kerajaan memaklumkan mereka akan kurangkan cukai pendapatan M40 sebanyak 2%. Maka, penjimatan cukai untuk kumpulan pertengahan adalah sehingga RM1000, manakala penjimatan cukai untuk kumpulan teratas adalah sehingga RM250.


"Rakyat dapat RM800 juta lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan.


"Namun, kerajaan menganggarkan hasil kutipan cukai individu akan meningkat sebanyak 9.8%, dari RM30,640 juta pada tahun 2022 ke RM33,630 juta pada 2023. Bagaimana kadar cukai diturunkan tetapi kutipan cukai boleh naik," katanya musykil.