Global Bersih cadang tempoh kempen 25 hari
Tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sepatutnya diperpanjangkan berbanding PRU sebelum ini yang hanya sekitar 14 hari.
Hal itu dicadangkan oleh Global Bersih yang berpusat di Geneva, Switzerland.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu Global Bersih, tempoh yang lebih panjang itu bagi memungkinkan pengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka secara yang lebih sempurna dan selesa.
“Global Bersih memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membuka proses pendaftaran undi pos luar negara sejurus pembubaran parlimen.
“Walaupun pendaftaran automatik telah dilaksanakan, rakyat Malaysia di luar negara masih perlu mengambil langkah tambahan mendaftar sebagai pengundi pos luar negara untuk mengundi melalui pos
“Memandangkan bilangan pengundi luar negara telah meningkat dengan ketara, dan kewujudan cabaran tambahan untuk pengagihan dan pemulangan undi semasa musim tengkujuh dan pandemik Covid 19, adalah satu fakta yang ketara bahawa pengundi luar negara akan menghadapi kesukaran besar untuk mengundi melalui proses undi pos sepanjang PRU-15,” kata kenyataan tersebut.
Sehubungan Global Bersih mengesa agar SPR memanjangkan tempoh berkempen kepada 21 – 25 hari bagi memberi masa yang mencukupi untuk rakyat Malaysia di luar negara menerima dan menghantar kertas undi mereka ke pusat pengundian masing-masing.
“Kami menggesa SPR mengambil kira perkara ini secara serius dan untuk memastikan sistem undi pos luar negara dapat berfungsi dengan berkesan apabila memilih tarikh untuk PRU 15.
“Global Bersih menyeru SPR tidak lupa cabaran dan kesusahan yang telah dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara semasa PRU-14 untuk mengembalikan kertas undi mereka ke Malaysia kerana tempoh kempen 11 hari terbukti amat singkat untuk rakyat Malaysia menerima dan memulangkan kertas undi, dan SPR sendiri tidak berjaya mencetak dan menghantar kertas undi dalam jangkamasa yang pendek berkenaan,” kata kenyataan itu.
Global Bersih turut membariskan bebarapa alasan kukuh yang memerlukan tempoh lebih panjang. Hal itu berlaku kerana penambahan besar bilangan pengundi pos luar negara selepas perubahan pendaftaran pengundi automatik, penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, kemasukan rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, Thailand Selatan, Brunei, dan Kalimantan dalam sistem pengundian pos luar negara dan penghapusan syarat untuk hadir selama 30 hari di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum pilihan raya.
Selain itu, Global Bersih juga mencadangkan SPR membenarkan bukan warganegara Malaysia bertindak sebagai saksi pada dokumen undi pos, kerana keperluan untuk saksi rakyat Malaysia telah terbukti menjadi masalah bagi pengundi di kawasan yang mempunyai sedikit atau tiada rakyat Malaysia.
“Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) juga digesa memastikan perwakilan asing Malaysia menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini secara proaktif mengenai proses pengundian pos kepada rakyat Malaysia di luar negara.
“Beberapa perwakilan asing Malaysia seperti di Wellington dan Canberra masih berkongsi maklumat pengundian yang tidak tepat dan tidak dikemaskini sehingga hari ini. Ini akan mengelirukan pengundi luar negara,” kata kenyataan itu lagi.
Di samping itu, Global Bersih juga mengumumkan solidariti terhadap rakyat Malaysia dalam negara yang terpaksa mengharungi musim tengkujuh untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang.
Global Bersih merupakan gerakan rakyat Malaysia di luar negara yang diwujudkan untuk menyokong kerja masyarakat sivil Malaysia dalam mengukuhkan demokrasi menggunakan cara tindakan yang aman dan berlandaskan undang-undang.