Salahkan diri sendiri bukan orang lain, kata Muhyiddin kepada Ismail Sabri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
membalas kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
kerana menunding jari kepada orang lain terhadap kesalahan dilakukan dirinya
sendiri berhubung keputusan membubarkan Parlimen baru-baru ini.
Presiden
Bersatu itu menyifatkan Ismail Sabri tidak mencerminkan keperibadian sebagai
seorang pemimpin apabila tidak mahu memikul tanggungjawab dan hanya tahu
mencari salah orang lain, walhal dirinya sendiri yang melakukan kesalahan.
“Saya
fikir ia sangat tidak bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri menyalahkan saya
atau jemaah menteri terhadap apa yang berlaku sekarang.
“Saya
fikir dia tidak boleh menyalahkan siapa yang bertanggungjawab. Kita tidak mahu
pertikaikan yang dipersembahkan kepada Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Agong telah bertindak atas
budi bicaranya.
“Bukan dia kata dia setuju
kerana ada desakan daripada sesiapa, kita minta seboleh mungkin jangan ada
pilihan raya. Siapa sini suka pilihan raya masa banjir, tak ada kan,” katanya
petik laporan media hari ini.
Terdahulu,
Ismail Sabri menunding jari kepada jemaah menterinya susulan langkah
mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai membantah kepada usaha
untuk membubarkan Parlimen.
Surat
tersebut diutuskan bertujuan bagi mengelakkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)
diadakan pada ketika negara bakal berdepan musim banjir.
Bagaimanapun,
Ismail Sabri tidak mengendahkan permintaan Kabinetnya sendiri apabila secara
tergesa-gesa bertindak membubarkan Parlimen pada Isnin lalu.
Menurut
Muhyiddin, tindakan mengutuskan surat itu hanya untuk menyuarakan suara rakyat
dan wakil sidang Kabinet kerana tidak ada perbincangan secara mendalam mengenai
pembubaran Parlimen.
Muhyiddin
juga mengungkit kembali berhubung perjanjian yang ditandatangani Ismail Sabri
semasa mahu mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN)
untuk menjadi Perdana Menteri tetapi nampaknya janji tersebut tidak ditepati.
“Saya
sebenarnya ada perjanjian dengan Datuk Seri Ismail Sabri waktu beliau menjadi
Perdana Menteri, kandungannya kalau nak dibubarkan Parlimen sewajarnya
bincanglah dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
“Kenapa
kita minta itu, kerana kita merupakan komponen terbesar dalam kerajaan,
adilkah? Ini tidak adil. Jadi bila dia tahu semua orang serang dia dari semua
arah, dia kata Muhyiddin punya salah, ini menteri yang salah,” katanya lagi.
Bekas
Perdana Menteri itu sekali lagi menegaskan bahawa Ismail Sabri harus
menyalahkan dirinya sendiri.
“Jangan
salahkan kita, kita menyuarakan tanggungjawab parti, menjaga kebajikan rakyat,
prihatin nasib rakyat, kita suarakan itu.
“Perdana
Menteri pun walau apa-apa pun dia nak kata, tetapi dia perlu bertanggungjawab
tentang apa dia dah lakukan sebab itu jangan salahkan orang, salahkan diri
sendiri apa yang sudah dilakukan,” katanya.