KUALA LUMPUR, 7 Okt – Bajet 2023 disifatkan sebagai peruntukan yang hanya membantu golongan elit, terutamanya kontraktor kerajaan dan taikun.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, berlaku kenaikan sangat tinggi bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan iaitu RM97 bilion.
Ujar beliau, ia berbeza dengan perbelanjaan pengurusan subsidi di mana berlaku pengurangan RM17 bilion jika berbanding tahun lalu.
“Apabila bercakap mengenai perbelanjaan pengurusan, ia pada dasarnya adalah subsidi untuk rakyat miskin dan rakyat kelas pertengahan.
“Jadi untuk 2023, kita melihat pengurangan RM17 bilion untuk subsidi tetapi perbelanjaan pembangunan kerajaan meningkat kepada RM97 bilion, sangat tinggi. Itu adalah kontrak kerajaan.
“Jadi kontrak kerajaan menguntungkan siapa? Ia memberi manfaat kepada kontraktor yang berkaitan dan taikun kepada kerajaan,” katanya dalam perkongsian di Tik Tok rasminya pada Jumaat.
Ujar beliau, meskipun Bajet 2023 disifatkan sebagai bajet pilihan raya, namun orang ramai perlu memahami perkara tersebut.
“Dalam istilah sebenar, bantuan sosial, sokongan sosial dan sekuriti adalah rendah, tetapi yang dia (Tengku Zafrul) tidak beritahu adalah yang menerima manfaat RM97 bilion itu adalah golongan kaya dan penerima kontrak kerajaan yang berkaitan,” jelasnya